ADVERTISEMENTspot_img

SOGDC, SEDCO Mining meterai MoU perkukuh pembangunan industri Sabah

Ewon (tengah)

KOTA KINABALU: Sabah Oil & Gas Development Corporation (SOGDC) dan SEDCO Mining Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pembangunan industri di Sabah, khususnya di kawasan Sabah Oil & Gas Industrial Park (SOGIP) dan Sawit Kinabalu Sandakan Industrial Park (SKSIP).

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Ewon Benedick berkata kerjasama strategik antara dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kementeriannya itu dijangka mampu menarik lebih banyak pelaburan industri ke kawasan berkenaan.

“Saya mengalu-alukan inisiatif kerjasama strategik seperti ini yang dilaksanakan antara syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Sabah di bawah tanggungjawab kementerian.

“Kerjasama bersepadu seperti ini memudahkan penyelarasan pemantauan, khususnya berkaitan dasar dan perundangan, seterusnya memupuk semangat kerja berpasukan yang lebih kukuh selaras dengan Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 dan Wawasan Sabah First,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU antara SOGDC dan SEDCO Mining di Hyatt Regency, di sini, semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Ewon berkata kerjasama itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara dua entiti negeri yang memainkan peranan signifikan dalam memacu pembangunan ekonomi Sabah.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa berpandangan bahawa pembangunan ekonomi Sabah memerlukan pendekatan bersepadu, di mana agensi pembangunan negeri perlu bergerak secara kolektif bagi mengoptimumkan potensi sumber dan peluang pelaburan.

“Apabila agensi pembangunan berada dalam ekosistem yang sama dan mempunyai matlamat pembangunan yang selari, proses perancangan dan pelaksanaan projek dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, pantas dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata kerjasama itu juga membuka ruang kepada pembangunan yang lebih komprehensif di kawasan SOGIP, yang merupakan antara hab industri strategik di Sabah.

“Melalui inisiatif seperti penambakan tanah, keluasan kawasan pembangunan industri di SOGIP berpotensi dipertingkatkan bagi menyokong kemasukan lebih banyak pelaburan industri pada masa hadapan,” katanya.

Ewon turut berkata potensi untuk mendalamkan laluan masuk perkapalan ke SKSIP dijangka meningkatkan keupayaan pelabuhan menerima kapal bersaiz lebih besar, sekali gus memperkukuh rantaian bekalan serta kedudukan Sabah sebagai hab industri dan perdagangan serantau.

Menurutnya, peningkatan kapasiti infrastruktur industri, pelabuhan dan logistik dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pelaburan, seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi serta membuka peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat Sabah.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SEDCO Mining serta semua pihak yang memainkan peranan dalam merealisasikan kerjasama strategik tersebut.

“Matlamat akhirnya adalah memastikan ekonomi Sabah terus berkembang secara progresif, pelaburan meningkat dan rakyat Sabah menikmati manfaat secara langsung melalui peluang pekerjaan, pembangunan industri serta peningkatan kesejahteraan ekonomi,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Thomas Logijin; Pengerusi SOGDC Datuk Ir Shahelmey Yahyah; Ketua Pegawai Eksekutif SOGDC Mohd Azmir Datuk Ramli; Pengerusi SEDCO Mining Alan Chua; Pengerusi Sawit Kinabalu Hazem Mubarak Tun Musa; serta Ketua Pegawai Eksekutif SEDCO Mining Shamsul Bahri Johari.

MoU tersebut ditandatangani oleh Mohd Azmir bagi pihak SOGDC dan Shamsul Bahri mewakili SEDCO Mining.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN