24.2 C
Kota Kinabalu
Isnin, Jun 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

SMK Pantai  tuan rumah Program Jalinan Kerjasama Antarabangsa ‘Koryukai’ Universiti Toyo Jepun

PROGRAM Jalinan Kerjasama Antarabangsa Koryukai bersama Universiti Toyo Jepun dan SMK Pantai Labuan

LABUAN:  SMK Pantai Wilayah Persekutuan Labuan diberi mandat untuk menjadi tuan rumah Program Jalinan Kerjasama Antarabangsa ‘Koryukai’ bersama dengan Universiti Toyo Jepun yang dikelolakan oleh Jabatan Pendidikan   Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL).

Sesuai dengan situasi norma baharu, program pendidikan yang melibatkan dua buah negara Malaysia dan Jepun  ini dilaksanakan melalui pelantar Google Meet dan juga bersemuka yang melibatkan 28  pelajar Universiti Toyo dan 47 pelajar  terpilih  SMK Pantai.

Turut hadir hadir dalam program ini ialah Penolong Pengarah, Sektor Perancangan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan yang juga penyelaras program, Faridah Amit, Pengetua SMK Labuan, Mohd Nizam YasIM, wakil dari Universiti Tokyo Jepun,   Tatsuya Tony Takahashi yang bertindak sebagai moderator bagi universiti tersebut, barisan pegawai dan  penolong kanan JPWPL, guru-guru, para pembentang serta  mahasisiwa Universiti Toyo.

ISMAIL ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena program tersebut.

Menurut Pengetua SMK Pantai Ismail Abdullah, Program Jalinan Kerjasama Antarabangsa ‘Koryukai’ adalah bertujuan memperkukuh konsep silang budaya antara warga pendidik dan murid-murid di Wilayah Persekutuan Labuan dengan warga Universiti Toyo.

“Selain itu ia sebagai usaha  mengeratkan jaringan antarabangsa Labuan (Malaysia)  dan Jepun, jaringan ini memberikan pengalaman baharu khususnya murid-murid untuk berinteraksi secara dalam talian dengan warga luar negara seperti Jepun. Ia juga selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, jalinan ini menyediakan kesamarataan akses kepada dunia pendidikan  yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa” katanya dalam satu kenyataan kepada BDB di sini, kelmarin.

Ismail berkata, pelaksanaan program jalinan ini  berupaya menyediakan peluang mengenali budaya antara dua buah negara dalam kalangan murid-murid SMK Pantai di Wilayah Persekutuan Labuan.

Penganjuran program ini  juga katanya,  memberi peluang berinteraksi dalam kalangan murid-murid walaupun berlainan bahasa. Perkongsian budaya  seperti ibadah di bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada bulan Syawal yang melibatkan pakaian dan juadah  adalah antara objektif program ini.

Beliau  turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan khususnya Sektor Pengurusan Sekolah dan Sektor Perancangan kerana memberi kepercayaan kepada SMK Pantai mewakili Labuan dan Malaysia dalam jalinan antarabangsa tersebut.

Dalam majlis itu, adik Nur Azhana Shafwani dari kelas 3 Inquirer menjadi moderator program  Para pembentang pula terdiri daripada Qistina Alya  Sulaiman, Nur Waheeda Mohd Rizal, Sufi Sofeana Marwan,  Mirza Muhammad Maxmillon, Shafiyyah Shopian  dan Nazhif Zachery Tan yang merupakan murid tingkatan 4 dan 5 sekolah ini.

MODERATOR bersama Barisan pembentang dan guru-guru SMK Pantai

Dalam pada itu, mahasiswa  Universiti Toyo yang memulakan pembentangan telah mengutarakan pembentangan mereka mengenai budaya yang  terdapat di Jepun antaranya memperkenalkan tempat-tempat menarik di Jepun seperti Tokyo, Okinawa, Tokyo Disney Resort, dan Universal Studio.

Mereka juga turut memperkenalkan budaya yang ada di negara matahari terbit itu iaitu tulisan kaligrafi Jepun, Kimono, Kobuki, Kado dan Sumo. Budaya ini menunjukkan identiti negara mereka dari segi pakaian tradisi dan sukan. Kartun anime Jepun yang terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya murid-murid sekolah  seperti  Demon Slayer, One Piece, Doraemon, Precure dan Slam Dunk turut dikongsikan.

Sementara itu, Ismail menjelaskan enam pelajar SMK Pantai pula membentangkan mengenai  budaya kehidupan rakyat Malaysia ketika menyambut bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri

“Mereka membentang cara-cara umat Islam  di Malaysia berpuasa, kelebihan berpuasa, iftar dan juga sahur. Mereka juga turut membentangkan  makna sahur dan aktiviti  sepanjang bulan Ramadhan seperti tarawih, moreh, dan malam Lailatul Qad’r.

“ Selain itu, pakaian tradisi rakyat Malaysia semasa hari raya dan makanan utama yang menjadi tradisi di Malaysia sewaktu hari raya antara pengisian pembentangan” katanya.

Ismail berkata, Program Jalinan Kerjasama Antarabangsa ‘Koryukai’ bersama Universiti Toyo, Jepun dapat mengukuhkan hubungan dua negara khususnya dalam bidang pendidikan.

“Jalinan antarabangsa ini dapat memberi manfaat bersifat jangka panjang kepada warga pendidikan Labuan secara keseluruhannya disamping dapat memberi pengalaman baharu untuk berinteraksi dalam talian, menyuntik semangat dan memberi inspirasi kepada pelajar  untuk belajar dengan penuh bersemangat” katanya.

 Beliau yakin program  ini akan menjadi penanda aras kepada dunia pendidikan negara khususnya Labuan dalam mewujudkan kerjasama antarabangsa dengan mana-mana negara luar. Sesuai dengan tagline, ‘ Labuan Superb’ , ‘Guru Sayang Muridnya’.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN