LABUAN: Usaha yang dilakukan oleh SMK Mutiara patut diberi pujian dalam menghargai murid-murid yang terlibat secara aktif dalam PdPR, demikian kata Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Labuan, Haji Abdul Rahman Haji Ahmad.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Penghargaan Murid PdPR ( MAPEM 2021) yang diadakan baru-baru ini.
Jelasnya lagi, kehadiran murid dalam Pdpr sangat penting supaya murid-murid tidak mengalami defisit pembelajaran.
“Walaupun pengajaran dan pembelajaran di rumah ini berbeza jika dibandingkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka, namun kita semua perlu menerima hakikat bahawa PdP secara norma baharu ini perlu diterima dengan hati yang terbuka. Kehadiran anak-anak murid juga perlu diambil perhatian oleh semua guru dan ibu bapa” katanya.
Dalam waktu yang sama katanya, pihak sekolah juga perlu memberikan suntikan motivasi dan galakan agar murid-murid sekolah dapat menghadirkan diri secara konsisten dalam Pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah(PdPR).
Ini kerana, situasi pandemik Covid 19 sedikit sebanyak telah memberikan pelbagai kesan kepada murid-murid dan jika tidak ditangani dengan baik sudah pasti akan menyebabkan murid-murid tersebut mengalami defisit pembelajaran.
Sementara itu, Pengetua SMK Mutiara, Yahya Ahmad Puteh berkata, objektif penganjuran MAPEM PdPR adalah untuk menghargai murid-murid terlibat secara aktif dalam PdPr,
Katanya, seramai 76 orang murid yang membabitkan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 telah diberikan penghargaan atas pelibatan mereka yang aktif sepanjang tempoh PdPR berlangsung.
“Saya mengharapkan kehadiran murid akan lebih baik selepas ini memandangkan murid-murid akan mula bersekolah selepas 31 Ogos 2021 nanti, setakat ini jumlah kehadiran murid-murid SMK Mutiara dalam keadaan yang baik”, katanya.
Yahya juga merakamkan penghargaan kepada ibu bapa pelajar yang sentiasa memberikan sokongan penuh dan membantu sekolah sekolah dengan memastikan anak-anak mereka hadir sepaanjang sesi pdpr berlangsung.