Peserta SMA MAIWPL, KAA SMK Mutiara dan PVATM bergambar kenangan sebelum memulakan Ziarah Mahabah Perwira Negara
LABUAN: Sekolah Menengah Agama MAIWP Labuan (SMA MAIWPL) bersama rakan kolaboratif Kelas Aliran Agama SMK Mutiara WP Labuan (KAA SMK Mutiara), Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia cawangan WP Labuan (PVATM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meneruskan tradisi murni melalui program Ziarah Mahabah Perwira Negara, sempena sambutan Hari Warga Emas Sedunia baru-baru ini.
Program yang kini memasuki tahun keenam penganjurannya itu menjadi wadah sekolah dalam menghidupkan sunnah Rasulullah dengan menziarahi, menyantuni dan mendoakan kesejahteraan warga emas khususnya dalam kalangan veteran Angkatan Tentera Malaysia yang sedang menderita, sakit atau terkesan dari segi kewangan.
Ziarah yang dilaksanakan ke 13 buah kediaman veteran ATM sekitar Labuan ini disertai oleh guru, murid dan wakil agensi rakan strategik. Setiap rumah yang diziarahi disambut dengan senyuman penuh harapan dan doa yang mengalir dari hati.
Selain menghulurkan bakul makanan yang mengandungi keperluan asas harian, rombongan turut menyerahkan sumbangan tunai serta menghadiahkan doa kesihatan buat tuan rumah. Namun, yang paling berharga bukanlah pemberian material itu tetapi sentuhan kasih dan perhatian yang dihadirkan yakni sesuatu yang sering diabaikan dalam hiruk-pikuk dunia moden.
“Rasulullah tidak pernah membiarkan orang tua, uzur atau miskin dilupakan. Baginda menziarahi dan menyantuni mereka dengan doa dan senyuman. Inilah semangat yang ingin kami lestarikan kembali melalui program ini,” kata Penyelaras Program, Hisham Abdul Aziz ketika ditemui selepas ziarah.
Persatuan Veteran ATM (PVATM) memainkan peranan besar dalam membantu pihak sekolah mengenal pasti para veteran yang benar-benar memerlukan perhatian.
Menurut Setiausaha PVATM Cawangan WP Labuan, Nadzri Abdullah, program ini bukan sahaja meringankan beban mereka tetapi juga mengembalikan rasa dihargai dalam kalangan bekas perajurit yang pernah mempertaruhkan nyawa demi keamanan negara.
Sementara itu, MAIWP pula menyumbang dana dalam bentuk bakul makanan. Ini adalah bukti komitmen berterusan agensi itu dalam menyokong usaha kebajikan dan pembangunan ummah di peringkat akar umbi. Bagi murid yang turut serta, pengalaman ini menjadi madrasah kehidupan sebenar. Melihat keadaan warga emas yang masih tabah walau diuji, membuka mata mereka tentang makna sebenar syukur, sabar dan kasih sayang.
Pengetua SMA MAIWP Labuan, Siti Aminah Zakaria menyeru lebih banyak sekolah, agensi dan individu untuk bersama-sama menjayakan program ini pada tahun hadapan. “Ini bukan projek kebajikan semata-mata tetapi kemanusiaan. Ziarah ini menghidupkan sunnah, menyuburkan kasih dan mengembalikan roh rahmah dalam masyarakat kita.
Semoga lebih ramai akan berganding tangan agar kasih Rasulullah terus bernafas dalam kehidupan moden kita,” katanya penuh harapan.
Beliau berkata sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada manusia. Warga SMA MAIWP Labuan sedang menzahirkan makna hadith itu dengan sebenar-benarnya yakni mendidik, menyantuni dan menyebar manfaat tanpa dan menyebar manfaat tanpa jemu.



