TAHNIAH…. Muhammad Isyraf bersama pingat emas yang dimenanginya.
LABUAN: Skuad Karate Labuan berjaya membawa pulang satu pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa di Kejohanan 20th Sabah State Cadet Junior & U21 Karate 2023 yang diadakan di SMK Lok Yuk Likas, Kota Kinabalu baru baru ini.
Pingat tunggal emas skuad karate Labuan disumbangkan oleh Muhammad Isyraf Faiz Mohd. Ismifarizal dalam acara Kadet Kumite Individu Lelaki 70kg.
Manakala tiga pingat perak masing masing disumbangkan oleh Putri Nurbuhairah Norazlan yang bertanding kategori Kadet Kumite Individu Perempuan 47kg, Adib Abdullah Mohd Dzulfadly menerusi kategori Junior Individu Lelaki Kumite 55kg dan Mohd Azib Aiman Mohamad Affendi yang bersaing bagi kategori Kumite Individu Lelaki 60 kg.
Tiga lagi pingat gangsa masing masing di menangi oleh Amber Jelszabelle Jinugi (Kata Individu perampuan), Emmanuel Dunang (Junior Kadet Individu Kumite 70kg) dan Mohamad Irfan Firdaus Mohd Yusni (Junior Individu Lelaki Kumite 61 kg).
Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari disertai seramai 350 atlet yang melibatkan penyertaan dari Sabah, Labuan dan pasukan jemputan Brunei Darussalam).
Sementara itu, Skuad Karate Labuan menurunkan seramai 12 peserta yang antara lain bertujuan sebagai persedian menghadapi Kejohanan Kebangsaan yang dijadualkan pada Mei tahun ini.