30 C
Kota Kinabalu
Rabu, April 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

SKIM INSURANS PERCUMA: BUKTI KERAJAAN SABAH PRIHATIN

Dr. Eravan (kiri), Dr. Awang Faisal (kanan)

OLEH: Ts. Dr. Eravan Serri (Penganalisis Penyelidikan Data) dan Dr. Awang Faisal (Ahli Ekonomi dan Akademik)

APABILA kita bercakap tentang kerajaan yang benar-benar prihatin, ramai cepat bersikap skeptikal. Tetapi kali ini, wajar untuk kita memberi kredit pada tempatnya. Di bawah kepimpinan YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, Kerajaan Negeri Sabah sekali lagi membuktikan bahawa kesejahteraan rakyat adalah keutamaan mereka, bukan sekadar retorik, tetapi melalui tindakan nyata.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan Negeri, YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun mengumumkan Skim Insurans Berkelompok Percuma untuk seluruh rakyat Sabah. Ya, percuma melibatkan lebih 3.5 juta penduduk, merangkumi semua golongan umur dari bayi seawal sebulan hinggalah warga emas berusia 80 tahun. Ini bukan hanya satu langkah simbolik, tetapi satu bentuk pengiktirafan bahawa setiap nyawa rakyat Sabah itu bernilai.

Kemalangan dan musibah tidak mengenal waktu. Dengan skim ini, rakyat Sabah diberi perlindungan insurans kemalangan peribadi sehingga RM10,000. Sekiranya berlaku kematian, bantuan khairat sebanyak RM500 turut disediakan. Proses tuntutannya pula mudah, tanpa borang yang rumit atau syarat yang membebankan. Ini satu bentuk bantuan yang benar-benar sampai ke tangan rakyat, tepat pada masanya.

Skim ini membawa manfaat besar, terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah di kawasan luar bandar yang sering terpinggir daripada sistem perlindungan kewangan. Ramai dalam kalangan rakyat Sabah yang bekerja dalam sektor tidak formal petani, nelayan, peniaga kecil, kini boleh berasa lebih tenang, kerana sekurang-kurangnya mereka mempunyai jaring keselamatan sekiranya berlaku perkara di luar jangkaan. Ini juga mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman atau bantuan kecemasan tidak rasmi yang kadang-kadang mencekik.

Di samping itu, skim ini juga membuka ruang kepada peningkatan kesedaran tentang pentingnya perlindungan insurans atau takaful dalam kalangan masyarakat Sabah yang selama ini mungkin tidak terdedah atau tidak mampu mendapatkan perlindungan sebegini.

Walaupun kami menyambut baik inisiatif ini, sebagai satu tambahan nilai dan bagi menghormati sensitiviti serta aspirasi majoriti masyarakat Islam di Sabah, untuk mempertimbangkan transformasi skim ini ke arah bentuk perlindungan takaful. Takaful bukan sahaja mematuhi prinsip-prinsip syariah, tetapi juga menekankan unsur kerjasama, tanggungjawab bersama dan keadilan sosial, selari dengan semangat skim ini sendiri yang bersifat inklusif dan membantu tanpa syarat.

Kami yakin cadangan ini bukan satu penolakan kepada usaha sedia ada, sebaliknya satu penambahbaikan bersifat menyeluruh, agar skim ini lebih diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat, serta memenuhi kehendak mereka yang mengutamakan pematuhan syariah dalam hal ehwal kewangan. Sebagai contoh, pelaksanaan melalui operator takaful milik kerajaan negeri sendiri boleh dipertimbangkan bagi jangka panjang.

Skim ini dikendalikan oleh Progressive Insurance Bhd dan menurut kenyataan akhbar Pejabat Menteri Kewangan Sabah proses tuntutan dijangka mengambil masa dua hingga empat minggu selepas dokumen lengkap dihantar. Iyanya satu jangka masa yang jauh lebih efisien berbanding banyak skim bantuan lain yang pernah diperkenalkan. Kami difahamkan juga maklumat lanjut akan diumumkan sebelum tarikh pelaksanaan efektif pada 1 Mei 2025.

Langkah ini menunjukkan bahawa dasar ini bukan sekadar dasar atas kertas, tetapi dilaksana dengan niat yang tulus dan telus. Pemimpin yang mendengar suara rakyat, termasuk suara dari pedalaman, dari pinggir bandar, dari mereka yang jarang diberi ruang inilah yang menjadi cerminan kepada kepimpinan yang matang dan merakyat.

Kami percaya, dasar seperti ini lahir daripada pemimpin yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat. YAB Datuk Seri Panglima Hajiji dan barisan kabinetnya tidak hanya memfokus kepada angka dan pelaburan fizikal semata-mata, tetapi juga memperjuangkan keadilan sosial dan pembangunan jiwa rakyat.

Sabah kini sedang bergerak ke hadapan, bukan sahaja dari segi infrastruktur, tetapi juga dari segi kesejahteraan insaniah. Dan itu, pada hemat kami, adalah pembangunan sebenar yang sepatutnya kita raikan bersama.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN