28 C
Kota Kinabalu
Ahad, Februari 25, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Sistem perparitan, saliran dan jalan Kampung Mangkalua perlu dinaik taraf

TINJAU…. Hendrus (tengah) dan Voo (kiri) bersama penduduk kampung di kampung Mangkalua, Kota Marudu.

KOTA MARUDU, 19 Jan 2021: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kota Marudu diminta menaiktaraf jalan, sistem perparitan dan saliran untuk tanaman padi di Kampung Mangkalua, dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Hendrus Anding berkata, disebabkan sistem saliran yang tidak sempurna tanaman padi penduduk Kampung Mangkalua telah rosak akibat banjir baru-baru ini.

“Oleh itu sistem perparitan dan saliran perlu diperbaiki dengan segera demi kesejahteraan penduduk,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjaun di kampung berkenaan hari ini.

Dalam satu tinjauan itu Hendrus diiringi Penolong Jurutera Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Kota Marudu, Voo Hon Vun; Pegawai Pemimpin Masyarakat (UPPM), Majawap Masantun dan Pemaju Mukim, Canny Sadiwau.

Hendrus menegaskan, pihak JPS perlu segera menaiktaraf parit dan saliran supaya laluan air menjadi lancar dan tidak merosakkan padi di sawah milik penduduk.

Pada masa yang sama katanya, jalan di kampung berkenaan juga perlu dinaik taraf dengan menambah ketinggian jalan supaya tidak dinaiki air apabila banjir.

“Saya memohon dengan Jurutera JPS Kota Marudu agar jalan kampung ditinggikan supaya dapat dilalui oleh kenderaan walaupun pada musim hujan,” kata Hendrus.

Hendrus yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan menegaskan, pihaknya akan sentiasa memantau keadaan semua sistem perparitan dan saliran sawah padi dan sentiasa bersedia untuk turun padang bersama pihak yang berkaitan bagi mengenal pasti kerja-kerja pembaikan yang perlu dilaksanakan.

Hujan yang berpanjangan sejak seminggu lalu mengakibatkan kawasan penanaman padi terjejas dan tanaman rosak kerana dibanjiri air.

“Pihak saya akan bekerjasama dengan JPS Kota Marudu menangani masalah melibatkan perparitan dan saliran sawah padi penduduk kampung ini,” tegasnya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN