PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 bermula 23 hingga 27 Disember ini bagi memastikan pengguna menikmati harga barangan keperluan yang berpatutan menjelang sambutan Krismas pada 25 Disember.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata tempoh pelaksanaan selama lima hari itu meliputi dua hari sebelum perayaan, hari perayaan serta dua hari selepasnya, selaras dengan keadaan semasa agar tidak membebankan peniaga.
Menurut beliau, sebanyak 14 jenis barangan dikenal pasti untuk dikawal harga di bawah skim berkenaan, termasuk daging kambing biri-biri bertulang import, kubis bulat import, lobak merah, tomato, cili merah, lada benggala hijau, bawang merah besar, bawang kuning besar, ubi kentang import, kepak ayam, ayam tua hidup (Sarawak sahaja), babi hidup (ladang sahaja) serta daging babi (perut, daging dan lemak) bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Beliau berkata penentuan senarai barangan, paras harga maksimum serta tempoh pelaksanaan dibuat dengan mengambil kira faktor permintaan dan penawaran, kos semasa, cuaca dan kadar upah, selain pandangan rakan strategik termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta pemain industri, bagi memastikan bekalan mencukupi sepanjang tempoh skim.
SHMMP Krismas 2025 dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, dengan harga maksimum di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman sesawang KPDN. Pegawai penguat kuasa kementerian akan ditempatkan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah bagi memastikan pematuhan peniaga, selain pendekatan penguatkuasaan berhemah melalui pendidikan, nasihat dan amaran.
Kerajaan turut mengingatkan peniaga supaya mematuhi harga yang ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan harga terkawal. Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang ingkar, termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara bagi individu, serta denda sehingga RM500,000 bagi syarikat, bergantung kepada kesalahan.
Orang ramai digalakkan menyalurkan aduan lengkap melalui WhatsApp 019-848 8000, talian 1-800-886-800, laman eAduan KPDN, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my atau aplikasi Ez ADU KPDN.
Selain SHMMP, KPDN turut melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Krismas dan Program Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert (SIM@PAX). Sebanyak 875 PJRM Krismas dilaksanakan di seluruh negara dari 18 hingga 27 Disember, manakala 115 bengkel terlibat dalam SIM@PAX sepanjang tempoh sama.



