SHAHIDAN (dua kanan), Jalaludin (dua kiri), Bashir (kiri sekali) ketika melancarkan Penanaman Sejuta Pokok peringkat Wilayah Persekutuan di pantai Negalang, pada Ahad.
LABUAN: Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim melancarkan Kempen Penanaman Sejuta Pokok 2021-2025 Peringkat Wilayah Persekutuan di Pantai Negalang dekat sini, pada Ahad.
Hadir sama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaludin Alias, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman.
Terdahulu ketika berucap pada majlis itu Shahidan berkata, menerusi program berkenaan yang bertemakan ‘Menghijaukan Malaysia ‘Pokok Kita, Kehidupan Kita’ ia berdasarkan konsep hutan bandar dan pembungaan bandar dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyasarkan menanam 500,000 pokok, Perbadanan Putrajaya 400,000 pokok dan Perbadanan Labuan 100,000 pokok.
Beliau berkata Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah meluluskan peruntukan RM250,000 di bawah Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) untuk inisiatif memajukan hutan bakau dan kehidupan marin kawasan hutan bakau di Labuan.
Katanya, bagi peringkat awal pelaksanaan inisiatif itu di Labuan, ia akan memfokuskan penanaman 9,250 pokok bakau di enam lokasi iaitu Pantai Nelayan Kg Tanjung Aru; Pantai Kg Tanjung Aru/Kerupang; Pusat Ekopelancongan Paya Bakau Kinabenuwa; Sungai Kg Gersik; muara sungai di Kg Ganggarak dan Taman Botani Labuan.
TANAM….Shahidan menanam anak pokok bakau sempena Pelancaran Penanaman Sejuta Pokok Peringkat Wilayah Persekutuan.
“Antara spesies pokok hutan bakau yang ditanam termasuk Bakau Kurap, Bakau Minyak, Bakau Putih dan Api-Api Hitam,” katanya ketika berucap melancarkan Kempen Tanam Sejuta Pokok 2021-2025 di Pantai Nagalang di sini hari ini.
Shahidan berkata, tujuan menanam pokok bakau di tebing sungai, muara dan di sepanjang pesisir pantai adalah untuk mengurangkan risiko hakisan.
Selain itu katanya, ia juga menyediakan habitat dan makanan kepada hidupan air seperti ikan, ketam dan udang di sungai dan marin . Ini secara tidak langsung dapat menambahkan hasil tangkapan kepada nelayan di pulau ini.
“Sebanyak 5,000 pokok bakau akan ditanam di sepanjang pantai Kg Tanjung Aru, Nagalang, Kerupang tahun ini untuk mengurangkan risiko hakisan pantai” katanya.