Shah Aiman
BERMODALKAN wang hasil jualan motosikal sendiri, Mohamad Shah Aiman Aizuddin, 19, kini menjadi usahawan muda yang berjaya.
Shah Aiman, anak jati Ranau yang berasal dari Kg.Libang, menceburi bidang perniagaan bermula tahun 2019 pada usia 16 tahun.
Pada ketika itu, Shah Aiman dengan langkah kanan berbekalkan semangat yang tinggi telah memperkenalkan dan menjual produk minuman beliau sendiri jenama ‘Teh Ais Brother’ di Bazar Ramadan, Pekan Ranau.
Oleh kerana tiada pengalaman serta kurangnya ilmu dalam selok-belok perniagaan, Shah Aiman mengalami kerugian sehingga mencecah ribuan ringgit.
Kegagalan itu tidak mematahkan semangat Shah Aiman, malah beliau cuba beralih kepada perniagaan lain berasaskan produk penjagaan kulit dan sebagai tenaga pelatih, namun perniagan itu juga tidak bertahan lama.
Shah Aiman yang kecewa dan hampir putus semangat untuk berniaga akhirnya bangkit semula daripada kegagalan dengan menceburkan diri dalam perniagaan yang lebih mencabar.
Tanpa mengenal erti putus asa, beliau bangkit dan terus bangkit dengan berusaha lebih gigih selain mendalami ilmu perniagaan.
Bak kata peribahasa, usaha tangga kejayaan, kini beliau memiliki sebuah syarikat sendiri iaitu Shah Aiman Holding Sdn.Bhd.
Shah Aiman yang juga pengarah urusan syarikat memberitahu, syarikatnya kini menjalankan perniagaan kereta sewa (sewa pandu) seluruh Sabah.
Selain itu, Shah Aiman turut menceburkan diri dalam bidang kontrakor kerja, perkhidmatan dan bekalan.
Berkongsi hasil pendapatan, Shah Aiman berkata, syarikatnya kini beroleh pendapatan bersih purata RM10 ribu hingga RM15 ribu sebulan.
Kini beliau bertekad untuk mengembangkan perniagaan sedia ada, dan dalam masa sama akan pembelbagaikan lagi jenis perniagaan syarikatnya.
Katanya, kegagalan beliau sebelum ini telah menjadi pembakar semangat serta motivasi pada dirinya untuk terus berusaha dan melangkah maju ke hadapan.
Justeru, Shah Aiman yang telah menempuhi pengalaman pahit manis dalam perniagaan sejak dari usia 16 tahun hingga kini berkata, kegagalan merupakan satu lumrah yang biasanya
akan dihadapi oleh para usahawan yang berniaga. Namun ujarnya, tidak bermakna kegagalan tersebut akan membuatkan kita terus gagal dan tidak boleh mengecapi kejayaan selepas itu.
Malah kegagalan dalam perniagaan sekiranya dipandang dari sudut yang positif dapat dijadikan sebagai satu motivasi pembakar semangat untuk meneruskan usaha membangunkan semula perniagaan yang telah mengalami kegagalan.

Sebahagiam kereta sewa milik syarikat Shah Aiman Holding Sdn Bhd
Dalam pada itu, Shah Aiman turut mengajak golongan belia khusunya di daerah Ranau untuk menceburi dunia perniagaan.
“Rebut peluang-peluang perniagaan yang tersedia walaupun terpaksa bermula secara kecil-kecilan, sambilan atau sepenuh masa,” katanya.
Syarikat Shah Aiman Holding Sdn Bhd yang menjalankan kereta sewa turut membuka peluang kepada warga Ranau yang berminat melabur dalam syarikatnya dengan meletakkan kereta mereka untuk disewakan.
Jelas Shah Aiman, syarikatnya menyediakan pakej termasuk syarat-syarat yang terkandung dalam perjanjian antara pemilik dengan syarikat.
“Jana pendapatan sampingan menerusi perniagaan dengan menyewakan kenderaan anda dalam syarikat yang berdaftar dan berlesan selain jaminan yang ditawarkan syarikat, ” ujarnya.
Tambah Shah Aiman, kepada mereka yang berminat untuk berurus niaga dengan syarikatnya boleh menghubungi beliau di talian 013 801 4539.