Oleh: Dr. Jurry Foo
Pensyarah kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.
(Rakan strategik Kolumnis BDB) (jurryfm@ums.edu.my)
SERULING PAYUKI adalah jenama produk inovasi hasil mengoptimumkan sumber dan kearifan tempatan yang berjaya diciptaolehPayuki atau nama sebenarnya Khamarul Azman Kowasin. Anak muda kelahiran Kundasang, Ranau, Sabah yang begitu berbakat dalam bidang muzik tradisional khususnya seruling. Pendendang Lagu Sakura Payuki yang mempunyai bakat besar dalam memulihara muzik bambu selayaknya mendapat pengikhtirafan sebagai duta warisan budaya yang boleh menjadi inspirasi generasi muda mengenal, mendalami dan mencintai budaya.
Ke mana tumpahnya kuah jika bukan ke nasi?. Payuki yang telah mula membuat seruling sendiri seawal usia tujuh tahun dengan bimbingan daripada ayahnya sendiri iaitu Encik Kowasin Watiman yang juga merupakan ahli kugiran muzik bambu yang terkenal bersama kumpulan Suara Buluh Perindu. Menurut ayah beliau kearifan tempatan itu sangat ‘sayang’ jika tidak diwariskan kepada anak-anak apatah lagi sumber bahan mentah bambu yang digunakan mudah didapati di sekitar Kundasang.
Cetusan Inovasi penghasilan SERULING PAYUKI datang daripada galakan seorang ibu yang juga pencinta muzik. Ibu beliau Puan Mariana Taliban yang popular sebagai penyanyi tempatan suatu ketika dahulu adalah pendorong dan mentor kepada Payuki. Bertemu dengan Razali Kulintangan dan Dr. Sharif Zainal dalam satu pertandingan pada tahun 2015 adalah titik mula terdetiknya keinginan mencipta seruling Panjang yang kini dinamakan sebagai SERULING PAYUKI itu. Ini kerana mereka adalah orang yang paling mula memberikan cadangan kepada Payuki dan seterusnya disokong ahli-ahli kumpulan Suara Buluh Perindu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sabah serta ibubapanya sendiri.
Gelaran Raja Seruling Kinabalu yang diberikan oleh peminat kepada Payuki sememangnya sangat sesuai memandangkan beliau mempunyai kemahiran meniup seruling, membuat seruling malah mempelbagaikan fungsi alat muzik tradisi tersebut mengikut keperluan dan perkembangan muzik semasa.
Keistimewaan SERULING PAYUKI ialah mempunyai ukuran yang lebih panjang berbanding seruling asli, namun yang unik ialah ia mempunyai tiga notasi kod yang berbeza, termasuk tiga notasi yang berlainan dari segi tiupan, bermula daripada hujung seruling ialah not G, di tengah adalah not C, dan di bahagian atas seruling pula ialah not D. Bunyi not ini pula menghasilkan tiga jenis bunyian yang unik. Contohnya, bunyi rendah, sederhana dan tinggi. Seruling Payuki digelar sebagai suling Akinabalu atau seruling Panjang. Namun yang paling penting seruling ini boleh memainkn lagu-lagu tempatan, lagu-lagu Malaysia serta lagu antarabangsa dan ‘Hanya terdapat di Sabah’, kata Payuki.
Melestarikan muzik bambu adalah cita-cita Payuki. Oleh itu beliau berkolaborasi dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui penyelidikan akar umbi (SDK 0244) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan memperluaskan lagi fungsi Geleri Mini Perindunya Sebagai satu daripada bahagian Taman Budaya dan Inovasi Kundasang (TABIK) di samping memulihara tumbuhan bernilai dalam masyarakat Kundasang, taman ini nanti akan menjadi pusat pemuliharaan warisan budaya dan alam sekitar mengoptimumkan sumber dan kearifan tempatan terbuka kepada komuniti dan mereka yang berminat. Oleh itu sesiapa sahaja yang ingin mempelajari cara membuat seruling bambu dan memainkannya, boleh menghubungi Payuki untuk mengaturkan sesi pembelajaran secara individu mahupun berkumpulan pada bayaran yang berpatutan. Malah peminat seruling boleh membuat tempatan atau pembelian terus melalui Payuki secara langsung atau dalam talian. Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai SERULING PAYUKI boleh menghubungi beliau di talian 01172550075 atau hubungi 0105846012.