Perasmian MAT… En Rahman Maidin, Mantan Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Daerah Tambunan, mengabadikan kenangan bersama barisan Perwakilan MAT PVKMS Kali ke -11 2026
RANAU: Persatuan Veteran Komando Malaysia Sabah (PVKMS) berjaya menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali Ke-11 bagi tahun 2026 dengan kehadiran seramai 45 perwakilan, melibatkan ahli-ahli persatuan dari seluruh negeri, di sini baru-baru ini.
Mesyuarat yang berlangsung dalam suasana penuh semangat setiakawan dan perpaduan itu telah dirasmikan oleh mantan Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Daerah Tambunan, Rahman Maidin. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan veteran serta peranan berterusan mereka dalam menyumbang kepada masyarakat.
Antara agenda utama MAT ialah pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) baharu bagi sesi 2026 hingga 2029. Keputusan pemilihan menyaksikan A. Rajis Hj Yusop dipilih sebagai Presiden PVKMS yang baharu, manakala Fready Johnny Ajun dilantik sebagai Timbalan Presiden.
Dalam ucapan penangguhan, Presiden baharu menegaskan bahawa setiap Ketua Zon perlu memainkan peranan lebih aktif serta menunjukkan komitmen tinggi dalam menjaga kebajikan ahli-ahli komando di bawah seliaan masing-masing.
Beliau turut menggesa semua ahli supaya meningkatkan tahap celik teknologi maklumat (IT), khususnya dalam memanfaatkan penggunaan aplikasi Vibes 2.0 yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV). Katanya, penggunaan aplikasi itu penting bagi memastikan maklumat veteran Angkatan Tentera Malaysia sentiasa dikemas kini, sekali gus menjamin kebajikan mereka terus terpelihara.
Mesyuarat berkenaan bukan sahaja menjadi platform pemilihan kepimpinan baharu, malah berjaya mengukuhkan hubungan silaturahim serta semangat kebersamaan dalam kalangan veteran komando di Sabah.
Turut hadir ialah Pengerusi Koperasi Permuafakatan Veteran Komando Malaysia Sabah Berhad (KOMAND), Mad Sarip Saleh serta Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Tambunan, Welly Welcy Yutah.



