Para.penerima sumbangan dari SK.Naradan merakam gambar bersama ibu bapa dan Guru Besar sekolah itu, Bertran Sarudin (kiri sekali).
RANAU: Seramai 90 orang pelajar dari 9 buah Sekolah Rendah (SK) daerah ini, telah menerima wang tunai berjumlah RM300 setiap orang sumbangan Syarikat Lee Nyap (LN) Group Sdn Bhd.
Sumbangan itu merupakan CSR LN sempena Ulangtahunnya yang ke-35 tahun syarikat itu dan pembukaan Kedai Baru Lee Nyap Auto Parts di Kiaburi Plaza Ranau baru-baru ini.
Semua penerima sumbangan itu yang berdaftar dengan E-Kasih, diwakili Guru-Guru Besar sekolah terlibat yang seterusnya menyampaikan kepada murid-murid berkenaan diperingkat sekolah yang diiringi ibubapa masing-masing.
Sekolah-sekolah yang 10 muridnya terlibat menerima sumbangan berdaftar dengan e-kasih ialah, SK.Ratau, SK.Tudan, SRK.Don Bosco, SK.Langsat, SK.Narawang, SK.Naradan, SK.Kawiyan, SK.Tinanom dan SK.Tiang.
Ramai ibubapa yang anaknya terlibat menerima sumbangan itu, merakam penghargaan dan terima kasih kepada Syarikat Lee Nyap Auto Parts Ranau kerana sudi menghulurkan sumbangan wang tunai tersebut yang mereka disifatkan telah membantu meringankan beban kewangan kepada keluarga berdaftar dengan e-Kasih.
Ketua Pengarah LN Group Sdn Bhd, yang juga Pengerusi Persatuan Hakk Ranau dan Presiden Dewan Perniagaan Tionghua Ranau, Kapitan Datuk Jimmy Tham Yuk Leong ketika dihubungi, mengharapkan kepada semua ibubapa yang anaknya terlibat menerima sumbangan tersebut agar memanfaatkannya dengan sebaik mungkin bagi pembelian kos peralatan persekolahan anak-anak.
Perasmian kedai baru LN di pekan Kiaburi Plaza, telah disempurnakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah merangkap ADUN Karanaan, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Bin Manjun turut dihadiri Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri II, yang juga Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin bersama para kenamaan yang lain.



