Para peserta bergambar bersama penceramah dan staf Jabatan Perhutanan.
TAMBUNAN:Seramai 34 peserta telah menyertai kursus pengenalan kepentingan pemuliharaan hutan dan aktiviti eko-pelancongan di hutan simpan Nuluhon Trusmadi FMU10 melalui komuniti setempat dibawah program Reskill-Upskill latihan Eko-Pelancongan sumber asli tahun 2022.
Pengisian kursus telah diadakan di dewan terbuka Kampung Monsok Tengah pada Selasa itu adalah taklimat FMU10, taklimat pencegahan dan pemadaman kebakaran hutan, taklimat Jabatan Hidupan Liar, Enekmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan Enekmen Hutan 1968.
Peserta yang menghadiri kursus ini diberikan Sijil, T-shirt dan bibit pokok kayu seraya secara percuma.
Antara kampung terlibat dalam kursus ini adalah Kampung Kuala Monsok, Monsok Tengah dan Monsok Ulu.
Menurut Pegawai Daerah Tambunan Sabitun Makajil, kursus ini sangat baik sekali dianjurkan di sini memandangkan Daerah Tambunan mempunyai tempat-tempat menarik dan sangat berpotensi untuk dijadikan pusat pelancongan bagi daerah ini.
Katanya, kursus ini harus diteruskan di tempat-tempat lain terutama bagi penduduk kampung yang berhampiran dengan hutan simpan agar penduduk atau komuniti khususnya di daerah Tambunan mendapat pendedahan bukan saja kepentingan pemuliharaan hutan malah memberi peluang pekerjaan dan memberi pendapatan kepada komuniti berkenaan.
Selain itu katanya, kursus ini juga sangat penting bagi generasi akan datang agar keindahan alam semula jadi dapat dinikmati oleh generasi-generasi akan datang.
Sementara itu Pengerusi JPKK Kampung Monsok Tengah Simon Sulom mewakili peserta kursus ketika ditemui pemberita berkata, penganjuran kursus ini sangat bermakna baginya dan penduduk di kawasan berkenaan.
Ini katanya, kerana ianya dapat membuka minda penduduk di sini untuk menjadikan kawasan kampung berkenaan sebagai pusat Eko- Pelancongan seterusnya akan menambah sumber pendapatan penduduk kampung khususnya di Kampung Monsok Tengah, Monsok Ulu dan Kuala Monsok suatu hari nanti.
Terdahulu Pegawai Perhutanan Daerah merangkap Pengurus Projek SFM FMU10 Haji Afifuddin Jadin dan Pegawai Daerah Tambunan Sabitun Makajil bersama dif-dif jemputan menanam pokok seraya sebagai gimik perasmian di kawasan Dewan terbuka Kampung Monsok Tengah.