Seramai 30 peserta menyertai Kursus Asas Jurulatih Penjaga Gol di Keningau

Seramai 30 peserta menyertai Kursus Asas Jurulatih Penjaga Gol di Keningau

10/01/2022 Off By Marutin Ansiung

Jurulatih dan peserta ketika merakamkan kenangan pada penutupan kursus tersebut.

KENINGAU: Seramai 30 peserta menyertai Kursus Asas Jurulatih Penjaga Gol yang diadakan selama dua hari di Kompleks Sukan Keningau yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Daerah Keningau (Keningau FA).

Ketua Jurulatih merangkap Ahli Jawatankuasa Keningau FA, Well Apin berkata, peserta yang menyertai adalah terdiri daripada seluruh daerah di Pedalaman Atas dan turut disertai oleh peserta daripada Daerah Ranau serta Kota Belud.

Katanya, kursus tersebut dikendalikan oleh Jurulatih Penjaga Gol Sabah FC, Irwan Jamil dan Jurulatih Penjaga Gol Persatuan Bola Sepak Labuan, Azmie Omar.

Jelasnya, tujuan kursus tersebut diadakan adalah untuk mencukil bakat dan menarik minat kepada mereka untuk menjadi jurulatih penjaga gol berikutan kekurangan jurulatih penjaga gol di Pedalaman Atas dan sekitarnya.

Uyuszaimie (tengah) menyampaikan sijil kepada Irwan (kiri) pada penutupan kursus tersebut.

“Untuk situasi penjaga gol di Daerah Keningau dan sekitarnya, kita melihat memang kurang dari segi jurulatih dan pemain, oleh itu kita mengharapkan melalui kursus ini kita dapat menanam minat individu-individu ini menjadi jurulatih dan seterusnya mencukil bakat pemain penjaga gol yang berbakat dan berkualiti.

“Ini merupakan langkah awal kita untuk melahirkan jurulatih-jurulatih dan seterusnya kepada pemain-pemain penjaga gol yang berjaya dan berkualiti agar dapat mewakili pasukan bola sepak bukan sahaja di peringkat daerah tetapi juga di peringkat kebangsaan.

Well Apin

“Ini kerana peranan pemain penjaga gol yang berkualiti dan berbakat juga adalah sangat penting dalam pasukan bola sepak dan seharusnya ianya tidak dipandang remeh,” katanya ketika ditemui pemberita bagi mewakili Presiden Keningau FA, Rafie Robert, di sini pada Ahad.

Hadir sama pada penutupan kursus itu Setiausaha Keningau FA, Uyuszaimie Abdullah.