Emmie menyampaikan bantuan RM500 kepada salah seorang usahawan.
TAMBUNAN: Seramai 135 usahawan berumur 18 hingga 40 tahun di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan, Tulid dan Melalap bertuah kerana terpilih dalam Program Keusahawan dengan bantuan RM500.00 setiap usahawan.
Menurut, Ketua Pergerakan Beliawanis Negeri Gagasan Rakyat Sabah, Emmie Datuk Martin Idang, bantuan ini merupakan salah satu inisiatif Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang komited menyantuni golongan muda di Negeri ini baik dalam bidang pendidikan, pembangunan modal insan, sukan dan tidak terkecuali para peniaga dan usahawan muda.
“Kita akan cuba usahakan lagi membantu usahawan supaya amaun bantuan ini boleh ditingkatkan lagi dan mungkin lebih ramai lagi usahawan terlibat dalam program ini” ketika ditemui selepas program itu di Tambunan.
Katanya lagi, program ini secara tidak langsung memberi peluang kepada peniaga muda yang berada di luar bandar dan pedalaman serta tidak memiliki lesen perniagaan dan akaun bank untuk menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri.
Sementara itu para usahawan yang ditemui turut merakamkan penghargaan atas inisiatif ini yang banyak membantu dan berharap pihak kerajaan dapat menambah bantuan ini.
Farah Trancisca Sylvester seorang usahawan berkata, mereka berterima kasih kepada Ketua Menteri atas pemberian sumbangan kewangan tersebut.
“Kami amat bersyukur kerana sedikit sumbangan sebanyak RM500 itu dapat membantu kami utk pusingan modal” katanya.
Seorang lagi usahawan Christian Geoffrey berkata, berharap bantuan ini ditambah lagi supaya lebih banyak belia dan beliawanis di kuhsusnya di kawasan ini dapat bantuan tersebut.



