Seramai 134 pelajar Sabah di UPSI terima Bantuan Bakul Makanan

Seramai 134 pelajar Sabah di UPSI terima Bantuan Bakul Makanan

25/07/2021 Off By Marutin Ansiung

Arthur (dua dari kanan) menyampaikan barangan keperluan kepada Rudey Ansok, wakil pelajar Sabah di UPSI.

TANJONG MALIM: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)  Datuk Arthur Joseph Kurup  menyampaikan Bantuan Bakul Makanan kepada 134 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berasal dari Negeri Sabah.

Katanya, bantuan bakul makanan dan ‘hygiene kit’ ini merupakan usahasama Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dengan Koperasi Tanjong Keramat Malaysia Berhad dan Mercy Malaysia. 

“Bantuan ini dapat membantu meringankan beban pelajar-pelajar dari Negeri Sabah yang terpaksa tinggal di kampus dan tidak dapat pulang sempena cuti semester kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di fasa Pelan Pemulihan Negara fasa 1 dan 2” katanya.

Tambahnya lagi, bantuan yang diberikan ini juga akan dapat mengurangkan pergerakan pelajar untuk keluar bagi mendapatkan barangan keperluan harian. Ini sekaligus akan dapat mengurangkan risiko jangkitan.

Mengulas berkenaan keutamaan yang diberikan kepada Kerajaan Negeri Sabah bagi pembekalan vaksin CanSino oleh Kerajaan Persekutuan baru-baru ini,   Arthur  menyambut baik keputusan tersebut. 

“Kita melihat antara cabaran utama yang dihadapi sebelum ini adalah mengenai kos logistik serta perhubungan yang menyebabkan kadar pendaftaran vaksinasi di Sabah antara yang terendah”.

“Justeru, pembekalan vaksin CanSino yang memerlukan hanya satu dos suntikan bersesuaian dengan keadaan demografi negeri Sabah dan dijangka akan membantu mengurangkan kos serta cabaran logistik yang dihadapi terutamanya di kawasan pendalaman dan kampung-kampung terpencil” jelasnya.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata dengan penggunaan vaksin ini beban tugas yang digalas oleh petugas kesihatan di Pusat Pemberian Vaksin sekitar negeri Sabah khususnya bagi kawasan pedalaman akan dapat dikurangkan sehingga 50 peratus iaitu antaranya kekerapan perjalanan yang diperlukan ke sesebuah kawasan bagi memberikan suntikan vaksin.

Oleh itu katanya, penggunaan vaksin CanSino ini akan dapat meningkatkan kadar imunisasi di Negeri Sabah disamping mempercepatkan imuniti kelompok bagi memutuskan rantaian COVID-19.