24 C
Kota Kinabalu
Rabu, April 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

SEORANG LELAKI MAUT, KERETA DIPANDU REMPUH TRELER DI KILIMU

RANAU: Seorang lelaki tempatan maut akibat kecederaan parah selepas SUV yang dipandunya dari arah belakang merempuh sebuah treler yang sedang bergerak dekat sini pada awal pagi Khamis.


Mangsa, Eldeon Benedick, 25 disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan (KKM) di tempat kejadian di Kg Kilimu, 4 kilometer dari pekan Ranau, kira-kira jam 3.30 pagi.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam, enam anggota diketuai PBK II Wasli bin Saupin bergegas ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera FRT dan sebuah kenderaan EMRS.


“Setibanya di lokasi, kami mendapati sebuah SUV Toyota Harrier bertembung dengan lori treler kontena penghantaran dari arah belakang. Pemandu Toyota Harrier masih tersepit di dalam kenderaan yang remuk itu dan dikeluarkan oleh pihak bomba.


“Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan (KKM) dan kemudian diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.

Pihak Bomba membuat pemeriksaan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain dan operasi ditamatkan pada jam 4.29 pagi,” katanya.


Sementara itu Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin berkata kedua-dua kenderaan itu bergerak pada arah yang sama iaitu dari arah pekan Ranau menghala ke Telupid dan mangsa dipercayai memandu laju.


“Difahamkan pemandu SUV itu gagal mengawal kenderaannya dan kemudian merempuh belakang sebuah Lori Treler Kontena yang berada di lorong ketiga kiri untuk memasuki Stesen Minyak Petronas Kilimu, Ranau, Sabah.


“Selepas bomba mengeluarkan mayat mangsa dari kenderaan, Polis membawa mangsa ke Hospital Ranau. Sementara itu, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan itu,” katanya.


Simiun berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Beliau menggesa mana-mana saksi bebas yang melihat kejadian kemalangan itu boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes Insp Syaurin Bin Suhurani menerusi talian atau 0128401012 atau nombor pejabat 088-875222 sambungan 280 bagi membantu siasatan kes.


“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi negatif dan sentiasa berhati-hati semasa memandu. Patuhi undang-undang dan peraturan jalan raya ketika berada di jalan raya, elakkan memandu di bawah pengaruh minuman keras yang memabukkan. Ingatlah orang yang tersayang dan bersama-sama kita menjaga keselamatan, bukan sahaja daripada Covid-19 tetapi keselamatan jalan raya juga adalah satu kemestian.


“Kami menekankan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang kesalahan jalan raya supaya menyalurkan maklumat tersebut kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Ranau,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN