32 C
Kota Kinabalu
Sabtu, April 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

KPLB Sabah Akan Wujudkan Mesej Angalor Tanam Musang King: Ewon

OLEH: MARRYAN RAZAN

TENOM: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan membangunkan tanah seluas 365 ekar untuk tanaman Musang King melalui projek Mini Estate Sejahtera (MESEJ) di Kg. Angalor Kemabong Tenom.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, tapak Mesej Angalor itu telah dikenalpasti dan dipersetujui untuk tanaman pertanian bukan komoditi iaitu musang king dan tanaman lain seperti nanas.

Beliau berkata, projek mesej adalah dibawah program pembasmian kemiskinan KPLB Sabah dan setakat ini sebanyak 52 buah Mesej dibangunkan di seluruh Sabah yang kebanyakannya ditanam dengan tanaman komoditi Kelapa Sawit dan Getah.

Ewon ketika ditemui pemberita selepas meninjau kawasan itu.

“Kita telah membuat tinjauan tapak Mesej yang kita kenalpasti dan persetujui untuk adakan mesej pertanian bukan komoditi untuk para peserta yang akan dikenalpasti kelak.

“Ini merupakan pembangunan mesej baru yang pertama sejak saya menerajui KPLB Sabah dan yang pertama tidak melibatkan tanaman komoditi kerana selama ini mesej-mesej sedia ada ditanam dengan kelapa sawit dan getah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan tapak di Kampung Angalor Kemabong, dekat sini pada Isnin.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berharap, kerja-kerja pembersihan kawasan Mesej itu dapat dimulakan April ini supaya penanaman musang king boleh dimulakan pada tahun ini juga.

“Bagi fasa pertama, kita bercadang membangunkan kawasan ini kurang daripada 100 ekar dengan mengambil kira keadaan tanah yang berbukit dan curam. Kita akan melaksanakannya secara berfasa.

“Apabila proses pembersihan kawasan Mesej Angalor sudah selesai, kita akan menjemput Ketua Menteri (Datuk Mohd Shafie Apdal) untuk melancarkan penanaman bukan komoditi di sini,” katanya.

Dari segi pemilihan peserta, Ewon berkata, beliau telah mengarahkan pembentukan sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Tenom dan dianggotai pihak-pihak berkepentingan untuk menyelaras pembangunan di MESEJ Angalor Kemabong.

Katanya, tugas jawatankuasa itu antara lain mengenal pasti keluasan tanah yang boleh ditanam dan memuktamadkan pemilihan peserta.

“Pada dasarnya, kita telah bersetuju untuk memberi keutamaan kepada penduduk Kampung Batu dan Kampung Angalor yang pernah mengusahakan kawasan tanah di kawasan ini dan tersenarai dalam e-kasih sebagai peserta Mesej,” katanya dan berharap program ini dapat mengubah nasib penduduk di dua buah kampung itu.

Ewon bersama para pemimpin lain melihat pelan pembangunan Mesej Angalor Kemabong.

Selain Mesej, KPLB Sabah turut melaksanakan Program Kampung Sejahtera dan menyalurkan beberapa peruntukan pada tahun lepas untuk menambhbaik kemudahan seperti bekalan air graviti, jalan raya dan banyak lagi.

“Ini adalah program berterusan KPLB Sabah dan tahun ini kita telah bersetuju memilih 10 kampung lagi untuk dimasukkan dalam Program Kampung Sejahtera dan kampung-kampung sedia ada kita akan bantu bersesuaian kemudahan yang diperlukan tertakluk kepada peruntukan dan baki peruntukan semasa di kementerian,” katanya.

Daerah Kecil Kemabong mempunyai lebih 27,000 penduduk dengan bilangan penduduk yang berdaftar dalam e-kasih seramai 1,108 Ketua Isi Rumah (KIR).

Setakat ini projek-projek lain yang telah dilaksanakan KPLB Sabah di Kemabong ialah MESEJ Kg. Ulu Patian dan MESEJ Kg.Ungga serta Program Kampung Sejahtera iaitu Kampng Sumambu, Kg.Korolok dan Kg.Rundum.

Turut serta dalam lawatan itu Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, Ahli Parlimen Tenom Noorita Sual, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong Jamawi Jaafar, dan pegawai-pegawai daerah para pemimpin setempat. –TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN