27 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 5, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

SELAIN MENGIKUTI PdPR, AKTIVITI MEMBANTU IBU BAPA DI SAWAH PADI TURUT DI MANFAATKAN

Orleyvian sedang melakukan kerja-kerja membajak tanah untuk proses penanaman padi di sawah padi ibu bapanya di Kg. Lingkudau, Ranau.

RANAU: Selain mengikuti Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) pada musim pandemik Covid-19, ruang masa terluang turut dipenuhi untuk membantu keluarga mengerjakan sawah padi.

Begitulah aktiviti masa lapang yang dipenuhi oleh adik Orleyvian Ronny, 12 tahun yang menuntut di Sekolah Rendah Kebangsaan Pekan II Ranau.

Orleyvian ketika ditemui berkata, selepas mengikuti PdPR di rumah keluarganya di Taman Ujana Prima, beliau akan turun ke sawah untuk membantu ibu bapanya mengerjakan sawah padi untuk mengisi masa lapang yang terluang.

“Saya berasa seronok berkeja di sawah padi untuk membantu ibu bapa saya. Saya mendapat tunjuk ajar daripada mereka teknik-teknik membajak sawah selain menanam dan menuai padi”. Jelasnya yang bercita-cita ingin menjadi Pakar IT pada masa hadapan.

Beliau yang juga anak seorang anggota Polis mengakui aktiviti di sawah padi banyak mengajarnya erti penat lelah ibu bapanya mencari rezeki untuk menyara enam orang adik-beradik beliau.

Orleyvella tekun menjalankan kerja-kerja menyabut semaian benih padi sebelum ditanam diruangan petak sawah padi.

Seorang lagi kakak beliau, Orleyvella Ronny, 16 tahun yang bersekolah di SMK Mat Salleh, Ranau turut membantu ibu bapanya mengerjakan sawah padi selepas menjalani PdPR.

Beliau menjelaskan, aktiviti membantu ibu bapa di sawah padi dilakukan beliau sejak berusia seawal 12 tahun lagi dan sudah mahir dengan teknik-teknik penanaman, pembajakan dan penuaian padi.

“Daripada membuang masa dengan aktiviti tidak berfaedah, lebih baik saya membantu ibu bapa saya di sawah padi pada masa lapang selepas PdPR. Sekurang-kurangnya saya dapat mendalami erti penat lelah orang tua mencari rezeki untuk membesarkan kami”. Katanya.

Sifat terpuji yang ditunjukkan kedua-dua pelajar sekolah ini diharapkan menyuntik semangat ramai anak-anak murid lain bagi mengisi masa lapang yang terluang selepas menjalani pembelajaran di rumah.

Sesi persekolahan penuh akan bermula pada 21 November 2021 akan datang yang melibatkan semua peringkat pelajar. Sebelum ini, sesi persekolahan terpaksa ditangguhkan berikutan penularan pandemik Covid-19 dan murid-murid terpaksa mengikuti PdPR.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN