ADVERTISEMENTspot_img

Sektor pertanian mampu diperkasakan melalui kolaborasi persatuan pertanian: James Ratib

James menerima cendera kenangan daripada Pengerusi MaSDa, Duan Evans dalam majlis tersebut.

TENOM: Sektor pertanian di negeri ini mampu diperkasakan melalui kolaborasi persatuan pertanian seperti MaSDa agar keluaran tanaman lebih berkualiti untuk pasaran dalam dan luar negara.

Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah, Datuk James Ratib berkata, persatuan itu dianggotai ahli-ahli yang telah berjaya dalam bidang pertanian dan mampu menyumbang idea kearah memantapkan lagi bidang pertanian di negeri Sabah.

“Pengalaman selaku Pembantu Menteri Pertanian Dan Perikanan Negeri Sabah sebelum ini, saya melihat beberapa projek pertanian yang dirangka jabatan itu hasilnya kurang memuaskan. Justeru, saya yakin kepakaran ahli-ahli persatuan MaSDa mampu menyumbang pelbagai teknik pertanian lebih berkualiti”. Tegasnya.

James yang juga Ahli Persatuan MaSDa seumur hidup menjelaskan, ahli-ahli persatuan itu telah menunjukkan kejayaan membanggakan khususnya penanaman buah-buahan tempatan seperti durian dan Avokado.

Sebahagian daripada peserta MaSDA yang hadir dalam Mesyuarat Agung Tahunan Ke-4 persatuan berkenaan.

Justeru, beliau akan mengemukakan cadangan kepada Menteri bertanggungjawab dalam sektor pertanian agar MaSDa dijadikan perantara untuk membantu petani dan peladang mengembangkan ilmu pertanian yang mampu menghasilkan produk buah-buahan lebih bermutu tinggi.

“Kepakaran ahli-ahli persatuan boleh digunakan oleh Jabatan Pertanian untuk menjayakan kursus dan latihan praktikal pertanian. Dalam masa sama, kerajaan dapat membuat penjimatan kewangan kerana setiap kursus yang dijayakan tidak memerlukan kos yang tinggi kerana ahli persatuan memiliki kawasan ladang sendiri untuk menjalani latihan praktikal”. Katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Ke-4 Sabah Durian And Tropical Fruit Planters Association yang berlangsung di Naluyan Jungle Lodge dekat sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau juga berharap agar kementerian pertanian mengambil beberapa ahli persatuan itu untuk dilantik sebagai Penasihat Pertanian Negeri Sabah khasnya untuk menjayakan projek-projek pertanian yang dirangka kerajaan.

Jelasnya, beberapa kegagalan projek pertanian sebelum ini mampu ditangani dengan mengambil individu yang benar-benar telah membuktikan kejayaan dalam bidang pertanian sebagai salah seorang panel penasihat.

“Sudah sampai masanya ahli persatuan MaSDa mengganggotai majlis penasihat pertanian yang sekaligus menjadi perantara untuk memajukan projek pertanian yang dirancang kerajaan. Mereka mempunyai kepakaran dan telah membuktikan kejayaan dalam pertanian yang dijalankan”. Jelasnya.

Katanya, Kementerian Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat menerusi Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dan Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) juga akan menganjurkan beberapa kursus berkaitan pertanian dan ahli-ahli MaSDa dilantik sebagai fasilitator dalam program itu kelak.

“Kedua-dua agensi itu akan menampung kos penganjuran kursus tersebut agar lebih ramai rakyat Sabah mendapat ilmu pertanian yang mampu meningkatkan ekonomi diri dan keluarga pada masa akan datang. Tambahnya.

MaSDA ketika ini dianggotai seramai 141 orang ahli terdiri dari kalangan pengusaha ladang buah-buahan yang berjaya mengeluarkan pelbagai produk antaranya durian dan avokado berkualiti tinggi dari beberapa daerah di negeri Sabah.

Turut hadir dalam program tersebut adalah Walter Kenson, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat, Duan Evans, Pengerusi Persatuan MaSDa dan Iannis Irfan Dhil Akhbar, Setiausaha Agung MaSDa.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN