Ghani (tiga dari kanan)bersama Peter (kanan), Deckson (dua dari)kanan), Roger (dua dari kiri)dan Hasinin (kiri)semasa meninjau pusat pengumpulan batuan bakul makanan bagi daerah Nabawan.
NABAWAN:Sejumlah 7,265 bantuan bakul makanan diagih-agihkan kepada penduduk yang layak di daerah ini.
Pegawai Daerah Nabawan Peter Jonu Moinjil berkata, daripada jumlah itu 4,588 diagihkan kepada golongan B40, 2,177 bagi yang berdaftar dalam e-kasih dan 500 untuk yang dikuarantin dalam rumah.
Katanya, pengagihan bantuan bakul makanan tersebut agih melalui pemimpin-pemimpin masyarakat di setiap mukim yang diselaraskan bersama oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah, Pejabat Daerah, Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat dan Pejabat ADUN N.46 Nabawan.
“Proses pengagihan sedang berjalan dengan bantuan kenderaan jabatan dan agensi Kerajaan di daerah ini untuk pengangkutan bagi penghantaran di mukim-mukim yang jauh seperti mukim Pensiangan, Pagalungan, Sepulut dan Tatalaan” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Nabawan Datuk Abdul Ghani Datuk Mohamed Yassin yang melawat pusat pengumpulan bantuan bakul makanan kerajaan negeri di Dewan Masyarakat Nabawan hari ini berkata, beliau berpuas hati dengan proses pengagihan bantuan tersebut.
Pengagihan bantuan bakul makanan itu dilancarkan oleh beliau di Daerah Kecil Pagalungan minggu lepas.
Beliau berharap, pengagihan dapat diselasaikan dalam tempoh sehari dua ini.
Ketibaan Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS)diiringi oleh PPM Nabawan Deckson Andipai di pusat pengumpulan bantuan bakul makanan itu disambut oleh Pegawai Daerah Nabawan Peter Jonu Moinjil, Penolong Pegawai Daerah Kecil Pagalungan Roger Apolonius, Penolong Pegawai Daerah Pentadbiran Hasinin Kinsin dan Pegawai Kebajikan Nabawan Andy Fatmal Mohd Ikhsan.
Turut hadir Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)Pensiangan Puan Sitam Ansula.