(Atas kiri) Hj Faimin, Farhan, Jimmy dan Monsg Nick
RANAU: Pendekatan yang cekal dan tabah penduduk daerah ini menempuhi detik tragedi 10 tahun yang lalu di mana gempa bumi 6.0 magnitud berlaku di sini adalah suatu hal positif yang dapat diambil di sebalik mala petaka yang berlaku.
Mantan Pegawai Daerah Ranau, Datuk Hj Faimin Kamin berkata, kejadian itu begitu menggemparkan kerana tiada siapa di daerah ini yang bersedia, menjangka ataupun berpengalaman dalam menghadapi bencana gempa bumi.
“Hari ini genap satu dekad kejadian gempa bumi berlaku di daerah Ranau dan rasanya baharu kemarin perkara itu terjadi. Pada waktu itu, kita dikejutkan dengan gegaran kuat pada awal pagi.
“Sebagai Pegawai Daerah dan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam ketika itu, saya lebih-lebih terkejut kerana gempa bumni bukanlah sesuatu perkara yang bias akita urus di Sabah, tidak seperti bencana lain seperti tanah runtuh, banjir dan sebagainya,” katanya.
Pada ketika itu, katanya penduduk juga dikejutkan apabila banyak bangunan-bangunan seperti pejabat-pejabat dan kedai-kedai yang mengalami retak, kerosakan atau musnah.
Ekoran kejadian itu pula, katanya Ranau telah mengalami gangguan bekalan air yang teruk sehinggakan seluruh masyarakat mengalami masalah kekurangan air minuman.
Keadaan menjadi sangat sibuk ketika itu, di mana semua jabatan, terutama sekali pihak keselamatan dan juga pihak kebajikan, telah dikerah untuk membuat usaha bersepadu dalam menangani masalah yang dihadapi.
“Saya sangat berterimakasih kepada pihak polis yang diketuai OCPD DSP Mohd Farhan Lee Abdullah yang telah berjaya mengendalikan keselamatan dan juga perpindahan mangsa-mangsa yang terlibat ketika itu.
“Bagi saya apa yang membanggakan pada waktu itu ialah apabila kita menghadapi bencana seperti itu, semua ketua-ketua jabatan serta jabatan-jabatan telah memberikan kerjasama yang sangat padu tanpa mengira siang dan malam.
Penghargaan saya berikan kepada semua yang terlibat pada ketika itu, tidak dilupakan juga buat semua NGO-NGO yang terlibat membantu menghantar bantuan seperti air, makanan dan pakaian seeprti persatuan 5615 Volunteers Team,” kata beliau.
Mantan Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Mohd Farhan Lee Abdullah yang kini bertugas di Miri Sarawak berkata kejadian tersebut sudah tentu tidak dapat beliau lupakan dan tidak menyangka ia sudah 10 tahun berlalu.
“Terlalu banyak hal dan detik yang tidak dapat dilupakan pada waktu. Tetap kita bersyukur dan berterima kasih semuanya berjalan dengan baik dan selamat walaupun tragedi itu mengakibatkan seramai 18 nyawa telah terkorban,” katanya.
Seorang lagi wira pada masa kejadian itu, iaitu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau pada ketika itu, Jimmy Lagung berkata tanggal 5 Jun 2015 merupakan satu detik yang tidak akan beliau lupakan sepanjang hayat secara peribadi dan dalam kerjaya beliau sebagai anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Gempa bumi bermagnitud 6.0 pada skala Richter telah menggegarkan daerah Ranau, Sabah sekitar jam 7.15 pagi, mencetuskan kekecohan serta mencabar kecekapan dan ketangkasan kami sebagai pasukan penyelamat.
“Sebagai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, tanggungjawab utama saya pada pagi itu bukan sahaja menyelamatkan nyawa orang awam, tetapi juga memastikan keselamatan anggota pasukan saya.
“Saya mengarahkan pembahagian pasukan ke beberapa kawasan kritikal termasuk Kundasang, Pekan Ranau, dan kawasan sekitar Gunung Kinabalu yang menjadi tumpuan pelancong dan pendaki,” katanya.
Menurut Jimmy, antara cabaran terbesar yang mereka hadapi ialah menyelamatkan pendaki yang terperangkap di lereng Gunung Kinabalu akibat runtuhan batu besar
“Pengalaman ini telah mengubah saya secara peribadi dan profesional. Saya belajar bahawa dalam saat krisis, ketenangan dan kepimpinan yang jelas amat penting.
“Ia juga memperkukuh semangat setiakawan dan kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti setempat.
“Gempa bumi 2015 menjadi titik tolak kepada penambahbaikan prosedur operasi kami dan latihan kesiapsiagaan bencana di seluruh Sabah,” kata beliau.
Dari sudut sosial dan kerohanian pula, mantan Paderi Paroki St Peter Claver Ranau, Monsg Nicholas Stephen atau Monsg Nick berkata, 10 tahun telah berlalu tetapi tarikh 5 Jun 2015 tidak dapat beliau lupakan kerana gempa bumi yang berlaku.
Pada hari itu, katanya, peristiwa itu telah mengubah bukan sahaja sejarah Ranau tetapi juga mengubah pemikiran dan juga pendekatan umat ataupun orang ramai.
“Saya masih ingat pada waktu itu buat pertama kalinya tiada perbezaan antara agama dan juga bangsa dan keturunan. Buat pertama kalinya semua bersatu untuk memberi bantuan terutama air.
“Pada ketika itu, yang datang untuk datang untuk meminta bantuan air di gereja bukan sahaja orang-orang Kristian, malahan mereka yang datang dari pelbagai latarbelakang bangsa dan kerutunan.
“Di stulah saya melihat kesatuan yang nyata yang betul-betul memberi impak kepada Ranau dan juga kepada saya sendiri,” katanya.
Menurut Monsg Nick, air yang diterima pada waktu itu bukan sahaja dari umat-umat Kristian tetapi juga daripada pelbagai agama, “seperti dari saudara-saudara kita yang Muslim, Buddhist, Hindu, dan juga NGO-NGO pada waktu itu.
“Saya lihat pertama kalinya semua pihak ini bersatu dan saya melihat ini satu ‘blessing in disguise’ sebab sebenarnya kita orang-orang Sabah Malaysia boleh bersatu tanpa mengira bangsa, keturunan, agama mahupun status kewarganegaraan.
“Kita boleh bersatu dalam membantu orang-orang yang susah, miskin dan yang menderita pada saat itu, dan pada saat ini juga,” katanya.
Monsg Nick berkata, inilah satu berkat yang dapat diperolehi dalam hal saling membantu. Orang-orang susah membantu orang susah, dan orang senang pun turut membantu mereka yang susah.



