API MARAK…Kebakaran yang telah memusnahkan sebuah rumah di Kg.Dumpiring, semalam
KUNDASANG: Sebuah rumah musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kampung Dumpiring, di sini semalam.
Kebakaran melibatkan rumah jenis separuh kekal dengan berkeluasan 40 x 50 kaki persegi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Ridwan Mohd Taip, berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 09.07 malam.
Katanya, sepasukan 15 anggota diketuai beliau sendiri bergegas ke lokasi kejadian
yang terletak kira-kira 19 Kilometer daripada BBP Ranau bersama jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati rumah berstruktur tidak kekal telah terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan 1 aliran 300 kaki 2 pancutan sumber air dari pili bomba berhampiran,” katanya kepada Borneo Daily Bulletin.
Menurut Ridwan, mujur dalam kejadian malang itu, tiada kecederaan serta kemalangan jiwa dilaporkan.
Beliau berkata, operasi terkawal pada jam 9.45 malam dan operasi tamat sepenuhnya am 11.15 malam. Punca sebenar kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.