James (kiri) bersama pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar, menunjukan hasil rampasan dipercayai Sayap Ayam seludup dalam operasi semalam di Kota Kinabalu
KOTA KINABALU: Sebuah kontena perkapalan yang sarat dengan muatan kepak ayam seludup dipercayai dari Poland berjaya ditahan dalam operasi yang diketuai Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk James Ratib dekat sini pada malam Isnin.
“Dalam operasi yang diadakan dari jam 9.00 malam hingga 3.00 pagi itu, kita telah berjaya mengesan sebuah lori kontena dari Sepanggar yang disyaki membawa barangan seludup. Kita mengekorinya hingga ke destinasi dengan diiringi beberapa anggota polis dan juga Jabatan Veterinar.
“Setibanya di lokasi, kami telah meminta pasukan Jabatan Veterinar membuka kotak ini dan kami mendapati kepak ayam yang dibawa kontena ini tidak termasuk dalam senarai yang dibenarkan Jabatan Veterinar.
“Jadi dengan itu, saya akan membuat atau mengarahkan pegawai di Jabatan Veterinar untuk membuat laporan polis di balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.
James berkata, pihaknya akan meneruskan pemeriksaan sama dari semasa ke semasa kerana, pertama sekali, kementerian akan memastikan ayam atau daging yang dibawa masuk ke Sabah adalah berstatus Halal.
“Saya amat berharap agar perkara ini dapat kita atasi pada masa akan datang dan saya juga amat berharap agar semua pemain industri makanan khususnya ayam di Sabah dapat memohon lesen daripada Jabatan Veterinar bagi mengelak sebarang tindakan undang-undang yang akan dikenakan ke atas mereka.
“Pasukan petugas yang baru ditubuhkan ini baru dua hari beroperasi dan sudah berjaya menangkap sebuah kontena berisi ayam seludup dari luar negara.
“Dan saya juga berterima kasih kepada PDRM kerana membantu saya dan jabatan veterinar untuk melaksanakan misi ini, walaupun operasi dijalankan dalam jarak yang jauh dan dalam cuaca hujan,” katanya.
Susulan operasi semalam, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV)Sabah akan menempatkan beberapa pegawai dari Unit Khas (Task force) yang baharu sahaja ditubuhkan oleh JPV di pintu masuk seperti di Sepanggar dan beberapa laluan strategik penyeludupan yang dikenal pasti.
Unit khas ini akan ditempatkan 24 jam di setiap pintu masuk.
Menurut beliau, operasi seperti semalam akan diteruskan dan dipergiatkan lagi dari masa kesemasa dalam usaha membenteras habis-habisan aktiviti penyeludupan masuk ayam beku atau segar ke Sabah.
James menambah, ayam-ayam yang diseludup ini sudah pastinya tidak berstatus halal dan apabila berada dipasaran, harganya mungkin lebih murah kerana terlepas daripada audit yang dibenarkan oleh JPV Sabah.
“Ayam-ayam ini juga terlepas daripada cukai dan turut menjadi kecenderungan penyeludup melakukan kegiatan menyeludup masuk ayam-ayam ini ke Sabah.
“Kegaiatan penyeludup membawa masuk bahan mentah terutamanya ayam yang tidak melalui SOP yang ditetapkan JPV turut membimbangkan, terutama kepada pengguna ini kerana bukan sahaja status halal yang diragui malah kemungkinan besar terdapat bahan mentah lain yang tidak halal turut dilonggok bersama.
“Selain itu, ayam yang diseludup ini juga tidak diketahui status kesihatannya. Kita tidak akan biarkan pengguna makan ayam yang diragui status halal dan kesihatannya,” tegas James.
Jelasnya lagi, kegiatan penyeludupan ayam ini juga jika tidak dibenteras, sudah pasti akan berlaku keteresan kerena terlepas daripada cukai.
James menggesa kepada pemain industri ini agar mendapatkan atau memohon lesen status halal.
Dalam operasi semalam, James mengucapkan terima kasih kepada PDRM kerana turut serta dan banyak membantu dalam menjayakan operasi. Terima kasih juga beliau ucapkan kepada unit khas JPV Sabah.