BELURAN: Seorang wakil rakyat sifatnya mewakili masyarakat dan menjadi insan istimewa di kawasannya kerana dipilih oleh rakyat.
Mereka sanggup bersengkang mata dan mengorbankan masa, sebahagian besarnya bersama masyarakat.
Turun padang dan berkhidmat kepada rakyat di kawasan tanpa mengira waktu dan tempat, inilah yang dilakukan malah sudah menjadi rutin wakil rakyat kawasan Dewan Undangan Negeri N.48 Sugut, Datuk James Ratib.

James yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, menganggap khidmatnya kepada masyarakat bukan satu bebanan tetapi ianya adalah amanah dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Bagi James yang telah menjadi wakil rakyat Sugut sejak tahun 2013, beliau menyantuni, mendengar keluhan serta masalah yang dihadapi rakyat dalam kawasannya sepanjang masa dan tanpa mengira tempat.
“Saya menyantuni mereka bila-bila masa dan di mana-mana termasuklah ketika bertemu di restoran, tempat awam atau di rumah.
“Ini sudah menjadi kebiasaan bagi diri saya malah merasa senang kerana dengan cara ini saya dapat mendengar sendiri pelbagai isu tempatan yang dibangkitkan, selain menjadi ruang dan peluang untuk bertukar-tukar fikiran dengan mereka,” jelas Jemas.

Sementara itu, James ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai dan staff UPPM Dun Sugut di salah sebuah restoran di Sandakan berkata, beberapa permohonan yang telah dikemukanan oleh rakyat di kawasannya melalui JPKK dan Pemaju Mukim, telah diambil perhatian untuk diberikan peruntukan.
Antara permohonan yang telah dimasukan dalam peruntukan Adun pada tahun depan ialah penyelanggaraan dewan, membina jeti ke kawasan tanah perkuburan dan membina jambatan dengan jumlah peruntukan keseluruhan dianggarkan RM80 ribu.
Turut diluluskan ialah pembinaan Mini Dewan. Kesemua peruntukan tersebut adalah untuk Terusan Sugut.