25.8 C
Kota Kinabalu
Ahad, Januari 19, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

SAR-HAT dilancar untuk menyelamat mangsa d G’Kinabalu

Liew di program Hari Peringatan semasa upacara meletakkan bunga

RANAU: Pasukan Khas Penyelamatan yang dikenali sebagai Pasukan Penyelamatan Aras Tinggi Gunung Kinabalu atau Mount Kinabalu Search and Rescue High Altitude Team (SAR-HAT) telah dilancarkan dengan rasminya di sini pada hari Selasa.

SAR-HAT yang dianggotai oleh seramai 30 orang anggota dan dilancarkan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew merupakan inisiatif unik yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Pasukan tersebut terdiri daripada gabungan Pasukan Penyelamat Taman-Taman Sabah (20 orang), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia atau MOSAR (enam) dan Malim Gunung (empat orang).

Ketiga-tiga pasukan ini merupakan “First Responder” apabila berlakunya sesuatu kemalangan di Gunung dan dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Liew, pengwujudan Pusat Latihan Pendakian Aras Tinggi Gunung Kinabalu atau High Altitude Training Centre (HAT) merupakan salah satu Hala Tuju dibawah Gagasan Sabah Maju Jaya.

“Bagi pihak Kementerian, pengwujudan Pusat Latihan ini merupakan “produk ikonik” yang pertama diwujudkan di Malaysia.

“Kita sebagai rakyat Sabah, amat bertuah mempunyai Gunung Kinabalu yang tertinggi di Malaysia atau di rantau Asia Tenggara (4,095 m) yang menjadikan Gunung Kinabalu sebagai tempat pembiasaan atau latihan kepada pendaki-pendaki sebelum mendaki Gunung Everest .

“Saya percaya dan penuh yakin, pembukaan secara berfasa Pusat Latihan Pendakian Aras Tinggi Gunung Kinabalu akan mendapat sambutan dan dapat memberikan alternatif serta kepuasan kepada pendaki-pendaki gunung di seluruh dunia,” kata beliau.

Walau bagaimanapun, tambah Liew, keselamatan pendaki adalah menjadi keutamaan pengurusan Taman-Taman Sabah.

Justeru itu, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada pengurusan Taman-Taman Sabah atas langkah ke hadapan menubuh dan mewujudkan SAR-HAT di sini.

Penubuhan Pasukan ini, ujar beliau, bukan sahaja bagi memperkukuhkan penyelamatan pendakian tetapi sebagai langkah persediaan bagi pembukaan pendakian aras tinggi Gunung Kinabalu termasuk Latihan Simulasi Penyelamatan Aras Tinggi yang diadakan pada hari ini.

“Saya juga dimaklumkan, Prosedur Operasi Standard (SOP) Pendakian Gunung akan ditambahbaik selepas ini termasuklah mempastikan pendaki mempunyai persediaan yang mencukupi sebelum mendaki.

“Sebagai rekod, jumlah kes kemalangan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini (2023) adalah sebanyak 73 kes berbanding sepanjang tahun 2022 iaitu sebanyak 77 kes kemalangan.

“Sebahagian besar kes kemalangan ini melibatkan penyelamatan penuh iaitu mengangkat mangsa turun ke Timpohon disebabkan oleh Acute Mountain Sickness (AMS) atau penyakit gunung yang menunjukkan pendaki kurang bersedia semasa membuat pendakian,” kata beliau.

Liew berkata demikian semasa merasmikan acara Penutupan Program Memperingati Gempa Bumi Gunung Kinabalu Kali Ke-8 yang diadakan di Dewan Kinabalu, Taman Kinabalu pada hari Selasa.

“Program ini amat bermakna bagi saya, dan seluruh Jabatan dan Agensi-agensi Penyelamat yang terlibat dalam penyelamatan mangsa pada hari tersebut. Kita telah mengambil ikhtibar, pengalaman dan perkongsian kesedihan pada masa tersebut.

“Tragedi Gempa Bumi Gunung Kinabalu telah berlalu lapan tahun yang lepas, tetapi ianya amat bermakna dan bersejarah, bukan sahaja kepada keluarga mangsa yang terkorban tetapi juga kepada seluruh kakitangan Jabatan dan agensi-agensi Penyelamat Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan Malaysia termasuk Taman-Taman Sabah.

“Dikesempatan ini, marilah kita mengimbas semula peristiwa pahit dan sedih gempa bumi yang melanda gunung Kinabalu pertama kali dalam sejarah Malaysia pada 7.15 pagi, 05 Jun 2015, dengan kekuatan magnitude 6.0 (Scala Richter),” kata beliau.

Bencana tersebut telah mengorbankan seramai 18 orang pendaki dan 137 orang pendaki terkandas di kilometer 6.8. Daripada 18 orang yang terkorban, 4 orang adalah malim gunung, tujuh orang pelajar dari Singapura yang berusia antara 12 hingga 16 tahun, tiga orang guru pengiring, dua orang pendaki Malaysia, seorang pendaki warga China dan seorang pendaki Warga Jepun.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban. Saya dimaklumkan wakil keluarga mangsa malim gunung ada bersama-sama kita hari ini,” jelas Liew.

     

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN