33 C
Kota Kinabalu
Khamis, September 19, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Sangat penting ada kesatuan dalam sesuatu kampung: Jonathan

Jonathan (tengah) bersama para penduduk Kg Rumantai dalam sambutan Tadau Kaamatan kampung itu di sini baru-baru ini


RANAU: Semua penduduk mestilah bekerjasama menjayakan acara keramaian yang dirancangkan dengan satu hati supaya apa yang diimpikan akan terlaksana, kata Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.


“Komuniti kampung dapat berkongsi pengalaman pahit dan manis bersama kerana masyarakat hidup dalam persekitaran yang rapat, justeru sikap saling bantu-membantu itu amat penting dalam kehidupan seharian kita.


“Mesti ada sikap tolong menolong dan bergotong royong antara satu sama lain barulah kerja yang berat dapat dipikul bersama dan susah atau senang ditanggung bersama,” katanya.


Menurut beliau, masih ada segelintir masyarakat yang masih lagi terbawa-bawa persengketaan yang timbul semasa pilihanraya, akibat percanggahan fahaman politik.


“Jika kita mendahulukan kebencian akibat kecewa dengan kekalahan parti politik pilihan kita, hal-hal yang baik di dalam kampung akan terselubung dan tidak dapat dilaksanakan.


“Sedangkan di setiap komuniti kampung perlu ada Kerjasama, toleransi dan perpaduan yang baik yang melangkaui batas keegoan dan kepentingan peribadi kita.


“Sikap negatif seumpama itu akan hanya memecah belahkan komuniti kampung kita dan mengakibatkan Sambutan yang sepatutnya berlangsung dengan meriah, tidak dapat dijalankan.


“Jika kita terus mahu menegakkan kebencian kita dan tidak mahu ikut serta denga apa-apa sambutan di peringkat kampung, maka apa yang kita tabur, itulah yang akan dituai di kemudian hari,” katanya.


Sebagai Wakil Rakyat peringkat Parlimen, Jonathan memberitahu bahawa beliau sentiasa membantu tanpa mengira latarbelakang politik seseorang itu, yang penting orang itu layak dibantu.


“Bantuan diberikan tanpa pilih kasih dan saya akan pastikan legasi membantu seperti ini akan diteruskan oleh pemimpin yang akan menjadi Ahli Parlimen Ranau di masa akan datang.


“Kerana pemimpin dipilih oleh rakyat, justeru mereka harus membantu setiap orang tidak kisah mereka dari parti, suku, agama apa sekalipun,” kata beliau.


Jonathan berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Tadau Kaamatan Kg Rumantai yang diadakan di kampung tersebut dekat sini baru-baru ini.


“Syukur kerana sambutan Kaamatan dapat dijalankan di kampung ini kerana bukan semua kampung dapat menganjurkan sambutan Pesta Kaamatan peringkat kampung dengan jayanya,” kata beliau.


Sementara itu, Jonathan menegaskan bahawa pada pilihanraya akan datang, semua rakyat Sabah perlu bersatu hati kerana apa yang akan dihadapi ialah kuasa-kuasa luar yang akan cuba memecah belahkan rakyat dengan mengganggu ekonomi negeri ini.


“Tetapi jika kita kuat, bersatu hati untuk Sabah, maka suara-suara penting kita akan menjadi kuat sehinggakan kita tidak boleh diganggu gugat oleh mana-manapun bangsa di masa akan datang.


“Inilah yang kita mahu suarakan kerana saya sendiri sudah melalui banyak proses dan melalui bermacam-macam parti tetapi akhirnya orang kita sendirilah yang akan menentukan masa depan kita,” katanya.


Justeru, beliau berharap agar semangat Kaamatan dapat benar-benar menyatupadukan rakyat Sabah untuk menjadi pelindung dan pejuang kepada hak Sabah, sekaligus memastikan kelangsungan gengerasi akan datang di mana kuasa tidak akan hilang dari rakyat Sabah sendiri.


“Kalau sekiranya kuasa itu hilang, tidak ada lagi tempat persandaran, kita akan menjadi orang yang merempat di tempat sendiri, dan ini yang kita khuatiri.


“Perkara ini bukan mudah kerana kejahatan yang lalu itu orang yang memberikan IC Projek kepada orang luar mengakibatkan banyak Kawasan DUN kita sudah dikuasai oleh orang-orang hasil dari Projek IC.


“Justeru saya berharap bahawa kita bersatu hati sambil menempuhi apapun cabaran yang ada dihadapan supaya kita dapat pastikan kelangsungan pemerintahan Negeri Sabah di bawah orang-orang KDM sendiri dan bekerjasama dengan pihak-pihak yang lain di Sabah,” katanya.


Berkenaan denga jalanraya, Jonathan memberitahu bahawa mengikut jadual, Jalan Perancangan-Nalumad akan diaspal thaun ini, manakala jalan Miruru-Mangkadait dijadualkan untuk tahun hadapan.


“Kita akan terus suarakan dan usahakan agar jalan-jalan kita dapat diaspalkan sebelum tahun 2027 supaya semua pembangunan ini dapat dinikmati oleh semua penduduk di sini.


“Dari segi peruntukan pula katanya, ia juga akan terus bersikap adil supaya peruntukan yang ada dimanfaatkan semua mengikut fasa dan keperluan,” jlas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN