RUSDIN (empat dari kiri) merakam gambar kenangan bersama sebahagian tetamu yang hadir, antaranya Datuk Junaidi Sahat (empat dari kanan)
RANAU: Lebih 1,000 orang menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Pengerusi Saham Sabah Bhd, Datuk Rusdin Riman dekat sini baru-baru ini.
Datuk Rusdin yang dihubungi berkata, sambutan tersebut diadakan bagi meraikan dua perayaan dalam satu iaitu Hari Raya dan Pesta Kaamatan, di mana majlis itu memberikan penghargaan khas buat golongan warga emas.
“Dengan berbesar hati saya mengalu-alukan kedatangan semua ke sambutan istimewa Hari Raya dan Pesta Kaamatan ini.
“Selepas bulan Ramadhan yang mulia, kita sangat diberkati untuk berkumpul di sini dalam semangat kemaafan, kesyukuran dan perpaduan.

Datuk Rusdin (tengah) Datuk Verdon (kiri) dan Datuk Junaidi (kanan) sama-sama mengetam padi sebagai simbolik sambutan Kaamatan 2025
“Hari Raya bukan sekadar masa perayaan, tetapi juga detik untuk merenung perjalanan kita, mengukuhkan ikatan kita, dan menghargai kepelbagaian yang memperkayakan persahabatan dan ruang hidup kita,” katanya.
Datuk Rusdin yang juga Pengerusi Bekas Pelajar (ALUMNI) SMK Mat Salleh Ranau berkata, keluarganya sejak dahulu sentiasa mengadakan sambutan perayaan-perayaan yang berkaitan dengan latar belakang dan budaya dalam keluarga beliau.
Ini, katanya, termasuklah menyambut perayaan Tahun Baru Cina kerana isteri beliau berketurunan Tionghua; Hari Raya sebagai orang muslim; dan Kaamatan memandangkan keluarganya berbangsa Dusun.

Sebahagian lagi tetamu yang hadir bergambar bersama Rusdin dan keluarga
“Kehadiran tetamu daripada semua latar belakang agama, budaya dan kepercayaan dan ideologi politik menunjukkan betapa rakyat Ranau hidup dalam suasana harmoni dan muhibbah.
“Warga Ranau yang unik di mana dalam satu keluarga terdapat ahli keluarganya menganuti agama yang berlainan dan dapat hidup dalam keadaan yang aman damai adalah salah satu keunikan yang perlu dipelihara,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda dan isteri, Ketua Bahagian UMNO Ranau, Datuk Junaidi Sahat dan rombongan AJK Bahagian, Timbalan Presiden SAPP Datuk Japiril Suhaimin dan rombongan, Ketua Bahagian PPBM Abidin Sahat dan rombongan, Ketua Daerah Muhasif Hj Roman bersama isteri dan rombongan AJK Bahagian PGRS, Ketua Penyelaras PKDM Ranau Azman Manaf dan rombongan.
Majlis lebih meriah dengan kehadiran para warga emas serta Pengerusi Persatuan Warga Emas Lohan, Hambrus Abd Kadir dan ahli-ahlinya, bekas pelajar tahun 1979 SMKMSR yang semuanya sudah warga emas.



