Jonathan, Mursalin dan lain-lain menarik lembu korban yang disumbangkan dalam majlis itu
RANAU: Sambutan Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban di Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau disambut dengan lebih bermakna dengan sumbangan seekor lembu korban oleh Ahli Parlimen Ranau, YB Datuk Jonathan Yasin.
Pada hari Sabtu, Datuk Jonathan dan beberapa orang kakitangan Pejabat Parlimen Ranau hadir dalam menyempurnakan Majlis Simbolik Penyerahan Lembu Korban sempena Hari Raya Aidiladha di IPD Ranau.
Sumbangan tersebut merupakan acara tahunan yang dilakukan oleh MP tersebut kepada IPD Ranau, dan tahun ini tradisi itu diteruskan, sekaligus memberikan keceriaan dan kegembiraan kepada semua warga polis di sini dan keluarga mereka.

Datuk Jonathan, Mursalin dan lain-lain merakam gbr selepas melakukan gimik penyerahan lembu
Dalam kesempatan itu, Datuk Jonathan mengucapkan selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh Umat Islam, khususnya di daerah ini dan bersyukur diberi kesempatan untuk mengambil bahagian dalam sambutan Hari Raya korban bersama IPD Ranau.
Hari Raya Haji atau Hari Raya Aidil Adha adalah salah satu perayaan terbesar yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia selain Hari Raya Aidil Fitri. Hari Raya Haji disambut pada hari ke-10, 11, 12 dan 13 bulan Zulhijjah setiap tahun.
Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah SWT.
Tarikh 10 Zulhijjah ini juga merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.
Umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha sebagai satu kesempatan untuk mengukuhkan iman mereka, memohon keampunan, dan menunjukkan belas kasihan dan kemurahan hati kepada orang lain, terutamanya melalui amal dan perkongsian.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud, UPPM Paginatan Hishamudin Harun, para pegawai dan kakitangan PDRM Ranau dan lain-lain.



