32 C
Kota Kinabalu
Ahad, April 21, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Sambutan Hari Keluarga mampu perkasakan institusi keluarga: Abidin

Abidin sedang mengenakan Sigar kepada Tukod Tavakas Etnik Pauh


RANAU: Penganjuran majlis sambutan Hari Keluarga di kalangan suku etnik di sini mampu memperkasakan institusi keluarga selain dapat mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan keluarga dekat dan jauh.


Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, sambutan hari keluarga merupakan kesempatan di mana semua ahli saling mengenali anggota keluarga yang belum pernah berjumpa antara sama lain.


“Hari Keluarga membolehkan keluarga meluangkan masa berkualiti bersama dan terlibat dalam aktiviti yang menggalakkan kebersamaan dan ikatan.
“Ini termasuk apa-apa sahaja daripada berkelah keluarga atau keluar sehari untuk bermain permainan, menonton filem, atau sekadar bercakap dan berkongsi cerita.


“Ia adalah hari untuk merenung kembali ikatan yang mengikat kita bersama dan mengeratkan hubungan dengan orang tersayang,” kata Abidin yang juga Adun Paginatan.


Menurutnya, program sebegini menyerlahkan kepentingan nilai dan tradisi kekeluargaan serta menggalakkan keluarga mewariskannya kepada generasi akan datang.

Abidin Ketika merasmikan majlis Tadau Pisompuruan Sinakagon Pauh yang diadakan di Dewan Kg Miruru dekat sini pada hari Rabu


“Hari Keluarga adalah hari untuk meraikan hubungan kita dengan orang tersayang dan mencipta kenangan abadi yang akan dihargai untuk tahun-tahun mendatang.


“Perkara mudah dan kecil yang anda lakukan bersama anak-anak anda membuat perbezaan yang besar. Aktiviti ini mewujudkan hubungan yang kukuh dan sihat yang boleh menghalang mereka daripada terjerumus ke dalam aktiviti tidak sihat pada masa hadapan seperti penggunaan dadah dan jenayah.


“Malah, salah satu aspek terpenting Hari Keluarga ialah peluang yang diberikannya kepada ibu bapa untuk merenung tentang kepentingan pendidikan untuk anak-anak sebagai komponen penting dalam perkembangan kanak-kanak dan kejayaan masa depan yang signifikan bagi institusi keluarga secara keseluruhan, katanya.


Abidin berkata demikian semasa merasmikan majlis Tadau Pisompuruan Sinakagon Pauh yang diadakan di Dewan Kg Miruru dekat sini pada hari Rabu.


Beliau menambah bahawa beliau amat sukacita di atas jemputan walaupun beliau bukan berasal daripada etnik Pauh, tapi sebagai Wakil Rakyat beliau perlu bersama sama dengan semua golongan masyarakat di DUN Paginatan.


“Syabas dan tahniah kepada Persatuan kerana berjaya menganjurkan Tadau Pisompuruan ini dan diharapkan agar sambutan ini dapat diteruskan di masa-masa akan dating,” kata beliau.


Dalam majlis itu, beliau dengan sukacitanya meluluskan pembinaan tandas yang sangat mendesak bagi keperluan penduduk yang sentiasa menggunakan dewan kampung tersebut.


Sementara itu, Presiden Pisompuruan Sinakagon Pauh merangkap Pengerusi Penganjur Marius Semidau berkata, tujuan majlis itu dadakan antara lainnya ialah untuk mengeratkan ikatan silaturahim di kalangan ahli persatuan, dan persatuan dengan Wakil rakyat DUN Paginatan.


“Sambutan kali ini ialah sebagai mengucapkan jutaan terima kasih atas kesempatan YB Datuk datang ke Majlis Pertemuan keluarga Sinakagon Pauh.


“Untuk rekod, 85% penduduk Kg Miruru adalah berasal daripada Etnik Dusun Pauh. Walaubagaimanapun, kita mempunyai ahli-ahli di merata tempat di Sabah, seperti di Telupid, Tambunan dan Tamparuli.


“Suku Etnik Dusun Pauh sentiasa mengiktiraf dan memberi penghormtan yang tinggi kepada ‘Molohingon Kampung’ yang mereka beri gelaran sebagai ‘Tukod Tavakas’. Persatuan ini juga akan didaftarkan dengan ROS dalam masa terdekat ini,” katanya.


Marius menambah bahawa masyarakat Etnik Pauh akan terus berdiri teguh di belakang Wakil Rakyat Paginatan, Datuk Abidin Madingkir dan akan memastikan kemenangan beliau dalam pilihanraya akan datang.


Beliau turut memohon agar Abidin melihat keperluan kampung tersebut seperti pembaikan dewan dan tandas dewan yang amat mendesak.


Turut hadir Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling, CDO, Jipili Sigal, Pemaju-Pemaju Mukim, Pengerusi JKKK dan Ketua-ketua Kampung.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN