MIRI: Sabung ayam boleh menyebabkan seseorang leka.
Melihat ayam sabung bertarung memberi keseronokan tersendiri kepada peminat terutama mereka yang bertaruh.
Namun, nasib 13 lelaki termasuk seorang warga Filipina tidak begitu baik semalam apabila polis menyerbu kawasan tanah lapang di Kampung Lusut, Taman Tunku di sini.
Suspek berusia antara 34 hingga 67 tahun dipercayai terbabit dalam kegiatan judi sabung ayam.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah, ketika serbuan jam 3.25 petang itu, kesemua suspek bertempiaran melarikan diri sebelum ditahan selepas dikejar anggota polis.
“Polis turut merampas tiga ekor ayam sabung, termasuk dua ekor masih hidup serta seekor telah mati, dua papan untuk mencatat pertaruhan dan alat penimbang digital,” katanya dalam satu kenyataan.-SarawakVoice–