28 C
Kota Kinabalu
Rabu, Januari 14, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Sabah Terajui Kelestarian Alam Sekitar Secara Konsisiten

Yaras (dua dari kanan) ketika menyampaikan cenderamata kepada Nor Yahati sambil disaksikan Amir (kiri).

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri terus menerajui kelestarian alam sekitar melalui inisiatif pengurusan yang konsisten.Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata inisiatif yang dilaksanakan merupakan usaha berterusan agar kelestarian alam sekitar terus terpelihara.

“Melalui kajian yang dijalankan oleh National Geographic mendedahkan bahawa bagi keluasan 10 kilometer persegi, Sabah mempunyai lebih banyak flora dan fauna berbanding benua Amerika Utara dan Eropah. 


“Usaha ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam melestarikan alam melalui pelbagai inisiatif seperti pengurusan sungai yang cemerlang serta program kesedaran alam sekitar yang konsisten.

“Bagi status kualiti sungai pula, untuk tempoh lapan tahun dari 2016 hingga 2023, melalui rekod Laporan Kualiti Alam Sekeliling, tiada sungai di Sabah yang dikategorikan sebagai tercemar walaupun Sabah mempunyai kilang kelapa sawit paling banyak di Malaysia.


“Ini merupakan hasil usaha kolektif pelbagai agensi kerajaan dan pemain industri yang komited dalam memelihara alam sekitar,” ujarnya.Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Nor Yahati Awang

 dalam perasmian Seminar Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974: Kelestarian Alam Teras Madani di sini pada Selasa.


Beliau turut memuji kejayaan Sabah mendominasi Anugerah Alam Sekitar sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2024 Peringkat Kebangsaan yang diadakan baru-baru ini.

Bagi Anugerah Utama Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) Sekolah Menengah St. Patrick Tawau telah dinobatkan sebagai pemenang manakala SJKC Tai Tong Sandakan menerima Anugerah Sekolah Harapan SLAAS.


Untuk kategori individu, Pengetua Cemerlang SM St Michael Penampang, Jennifer Asing memenangi Anugerah Langkawi Kelestarian Alam Sekitar (ALKAS) manakala Majlis Daerah Beaufort menerima Penghargaan Khas Panel Anugerah Langkawi.


Dalam ucapannya Nik Nazmi turut memaklumkan bahawa Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan 2024), yang dikuatkuasakan pada Julai lalu memperkenalkan penalti yang lebih tegas bagi kesalahan pencemaran.


“Melalui akta ini, kerajaan memberi penekanan terhadap aspek  penguatkuasaan alam sekitar melalui usaha pengukuhan penguatkuasaan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan penambahbaikan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 dengan peruntukan berjumlah RM3.9 juta.


“Akta ini meliputi pewujudan denda maksimum RM10 juta bagi kesalahan melibatkan pencemaran air, pencemaran buangan minyak serta buangan di perairan Malaysia dan pelupusan haram buangan terjadual. 


“Penjara mandatori tidak melebihi lima tahun ke atas kesalahan melibatkan pelupusan haram buangan terjadual, pencemaran air dan ketidakpatuhan terhadap keperluan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA).


“Serta pakaian seragam kepada semua pegawai JAS yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah Alam Sekitar yang setaraf dengan agensi-agensi penguatkuasa yang lain,” katanya.


Seramai 400 peserta terdiri daripada Pengurusan Tertinggi Industri, Jururunding serta pembekal Teknologi dari pelbagai bidang berkaitan menyertai seminar anjuran Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah (JASAba) tersebut yang diadakan selama dua hari sehingga esok.


Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah, Yaras Yusup, Ketua Penolong Pengarah JAS Sabah, Amir Hamzah Musa dan Pengerusi JASAba, Mohd Fauzi Mahmud. -Penerangan-

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN