ADVERTISEMENTspot_img

Sabah Rangka Pelan Induk Tangani Kesesakan, Perkukuh Pengangkutan Awam dan Rel


KOTA KINABALU (27 April): Kerajaan Sabah sedang membangunkan Pelan Induk Pengangkutan Mampan Negeri Sabah (SSTMP) sebagai strategi komprehensif dan bersepadu bagi menangani isu kesesakan lalu lintas di bandar-bandar utama negeri ini.


Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Ewon Benedick berkata pelan berkenaan akan menjadi dokumen strategik utama dalam memandu pembangunan sistem pengangkutan yang lebih cekap, selamat dan mampan di Sabah.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Abdul Ghani Mohamed Yassin (Nabawan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.


Menurutnya, SSTMP dirangka bagi menangani cabaran pembandaran pesat, peningkatan pemilikan kenderaan persendirian serta kesesakan lalu lintas yang semakin ketara, khususnya di bandar utama seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Keningau.


“Pelan ini merangkumi perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang, selain memberi penekanan kepada integrasi pelbagai mod pengangkutan termasuk darat, laut dan sungai sebagai satu sistem menyeluruh,” katanya.


Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan negeri terus komited memperkukuh sistem pengangkutan awam di Kota Kinabalu melalui kerjasama dengan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah.


Antara inisiatif utama ialah pelaksanaan Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) yang kini dikenali sebagai BAS.MY, melibatkan perkhidmatan bas berjadual dengan laluan tersusun, kekerapan tetap serta pemantauan prestasi secara berterusan.


Menurut Ewon, BAS.MY menggunakan bas berukuran tujuh meter dengan dua pintu serta dilengkapi kemudahan moden seperti sistem pembayaran tanpa tunai, GPS dan CCTV, selain mesra pengguna termasuk warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).


“Pelaksanaan BAS.MY di Kota Kinabalu melibatkan lapan laluan utama dan bertujuan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian,” katanya.


Sementara itu, beliau berkata Kementerian Pengangkutan Malaysia sedang melaksanakan kajian kebolehlaksanaan bagi Projek Trans Borneo Railway sebagai inisiatif strategik jangka panjang.


Katanya, projek berkenaan berpotensi menghubungkan bandar utama dan kawasan pedalaman di Sabah melalui rangkaian rel baharu, sekali gus meningkatkan kecekapan pergerakan penumpang dan barangan.


“Projek ini dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada jalan raya, selain menyokong pembangunan ekonomi melalui peningkatan kecekapan logistik dan mobiliti tenaga kerja,” katanya.


Beliau menambah, pendekatan kerajaan negeri adalah berasaskan konsep pengangkutan bersepadu yang menggabungkan pelbagai mod bagi memastikan penyelesaian yang menyeluruh dan mampan.


“Dengan pelaksanaan SSTMP, BAS.MY dan projek strategik seperti Trans Borneo Railway, kerajaan yakin isu kesesakan lalu lintas di Sabah dapat ditangani secara berperingkat dan berkesan,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN