ADVERTISEMENTspot_img

Sabah Perkukuh Keselamatan Pastikan Pertumbuhan Ekonomi SMJ 2.0

Hajiji ketika berucap di Majlis Penyerahan Kuih Muih Hari Raya Aidilfitri Kepada Pasukan Keselamatan Dan Petugas Kesihatan.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dalam usaha memperkukuh keselamatan demi memastikan potensi ekonomi Sabah dimanfaatkan sepenuhnya dan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.


Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Sabah mempunyai potensi besar muncul sebagai menjadi Hab Ekonomi Biru di Asean Timur berikutan kekayaan biodiversiti lautan dan kedudukan strategik di laluan perdagangan serantau.


“Dalam kerangka SMJ 2.0, sektor maritim dan ekonomi biru dikenal pasti sebagai pemacu pertumbuhan baharu negeri melalui pembangunan industri perikanan moden, pengukuhan rantaian nilai makanan laut, pengembangan pelancongan marin, peningkatan infrastruktur pelabuhan serta pembangunan bandar pesisir dan sempadan sebagai hab ekonomi baharu.


“Namun semua potensi ini hanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya apabila keselamatan perairan negeri sentiasa terjamin.

Tanpa keselamatan yang stabil pelaburan dalam sektor maritim, pelancongan laut dan industri makanan laut tidak akan berkembang dengan baik,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Kuih Muih Hari Raya Aidilfitri Kepada Pasukan Keselamatan Dan Petugas Kesihatan, di Menara Kinabalu, pada Selasa.
Menurut Hajiji, Sabah adalah 

pintu ekonomi maritim negara di rantau ini dengan garis pantai melebihi 1,400 kilometer menjadikannya barisan hadapan Malaysia di Borneo dan Laut Sulu. 


“Kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) meliputi sepuluh daerah utama iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.


“ESSZone diperkukuh melalui peranan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) yang menyelaras operasi keselamatan darat, laut dan udara di Pantai Timur Sabah.


“Kewujudannya menjadi simbol kedaulatan negara di Sabah Timur. Oleh itu, pengukuhan keselamatan amat penting bukan saja melindungi rakyat malah membuka ruang kepada pembangunan bandar-bandar sempadan sebagai pintu ekonomi baharu negeri melalui perdagangan rentas sempadan, logistik, pelabuhan dan industri berasaskan sumber laut,” ujarnya.


Tambah Hajiji, selain keselamatan fizikal, kesejahteraan negeri juga bergantung kepada keselamatan kesihatan rakyat dan menghargai peranan petugas kesihatan yang komited memerangi penyakit berjangkit termasuk penyakit Tuberkulosis (TB) yang masih menjadi cabaran kesihatan awam.


“Usaha pengesanan awal, rawatan berterusan serta program kesedaran kesihatan yang dilaksanakan oleh petugas kesihatan amat penting dalam melindungi komuniti khususnya di kawasan luar bandar dan pesisir,” jelasnya.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan dan petugas kesihatan yang terus berkhidmat memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.-PENERANGAN


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN