26 C
Kota Kinabalu
Khamis, Julai 18, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Sabah Food Fiesta 2023 menarik kepada pelancong: James

Dr. Jeremiah (tengah) menerima cenderhati daripada penganjur


PENAMPANG: Program Sabah Food Fiesta 2023 berpotensi sebagai tarikan kepada pelancong asing yang berkunjung ke Sabah, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James bin Ratib.


Dengan memperkenalkan makanan tradisional yang unik dan membuka selera, katanya, program ini dijangkakan akan menarik minat pengunjung untuk mencuba dan menjejaki kekayaan makanan Sabah.


“Saya percaya program ini berjaya menghasilkan impak tinggi yang positif kepada ekonomi industri perhotelan dan restoran yang akan membuka peluang kepada para pengusaha makanan tempatan disamping memberi pekerjaan kepada rakyat.


“Dengan menggabungkan unsur-unsur pendidikan, budaya, seni, kraftangan, pelancongan, dan masakan, program Sabah Food Fiesta 2023 ini mampu mencipta inspirasi kepada semua untuk melanjutkan tradisi yang amat berharga ini,” katanya.


James yang juga Adun Sugut menyatakan demikian ketika merasmikan Sabah Food Fiesta 2023 that was held at KDCA Penampang pada Sabtu.


Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pegawai Khas (I) kepada Menteri KPMKR, Dr. Jeremiah Daniel V. Yee Wei, yang mewakili beliau dalam majlis tersebut.


“Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang telah sudi datang mengambil bahagian dalam program Sabah Food Fiesta 2023 sepanjang 3 hari bermula dari kelmarin.


“Sebagai menteri KPMKR, saya memuji keupayaan MTPN dalam mengsukseskan acara yang sangat diperlukan ini, sama ada untuk vendor-vendor yang berniaga mahupun pengguna-pengguna yang berkunjung,” katanya.


Menurut James, Sabah Food Fiesta 2023 adalah program untuk pengguna dengan tujuan untuk mempromosikan makanan tradisional di Sabah yang terkenal dengan kekayaan budaya, seni, kraftangan, dan kepelbagaian masakan (suku kaum Sabah).


“Program ini telah berjaya mempelawa pengunjung dan penduduk setempat untuk menjelajahi keunikan budaya seni dan kraftangan Sabah menerusi cita rasa unik yang ditawarkan oleh Negeri yang indah ini,” katanya.


Tambah James lagi, makanan adalah sebahagian besar dalam identiti budaya Sabah di mana masyarakat tempatan mewarisi sejarah kulinari yang kaya, hasil daripada inspirasi dari berbagai suku dan tradisi yang berbeza.


Dalam usaha mempertahankan dan menghargai warisan ini, katanya, program sebegini diadakan untuk memperkenalkan makanan-makanan tradisional kepada masyarakat tempatan dan juga luar negeri.


Menerusi acara Sabah Food Fiesta 2023, pengunjung berkesempatan untuk menikmati berbagai-bagai makanan tradisional Sabah seperti Hinava; Bosou; Linopot; Sinalau; Siopon; dan banyak lagi.


Selain dari itu, program itu juga mengadakan berbagai jenis kegiatan menarik seperti pertunjukan seni, demonstrasi masak, pertandingan permainan tradisional, dan pertandingan makan untuk menambah kemeriahan suasana.


“Saya berbangga dengan penglibatan dari 14 daerah di Sabah, dan lebih 100 pengusaha Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) dan pengusaha yang lain yang turut mengambil bahagian dalam program ini.


“Saya berharap program sebegini akan diadakan dengan lebih kerap pada tahun-tahun akan datang kerana ianya juga merupakan peluang untuk menjalinkan silaturahim antara budaya dan menghargai keunikan masakan penduduk Sabah,” katanya.


James menambah bahawa Kerajaan Sabah mendorong para pengguna untuk menyokong dan mempromosikan produk hasilan tempatan melalui kempen ‘Beli Barangan Tempatan’.


“Dengan mengutamakan produk-produk tempatan, kita pasti dapat membantu memperkasakan ekonomi Negeri, melestarikan budaya, dan memberikan sumbangan positif yang memampankan pembangunan masyarakat dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN