ADVERTISEMENTspot_img

Sabah FC sokong usaha PSPS

Awang Kadin (tengah), Syazwan (empat dari kiri) dan Maria (enam dari kiri) bergambar kenangan bersama pegawai pasukan Sabah FC, pemain, serta ahli PSPS bersempena majlis penyerahan sumbangan tersebut di Likas.

Oleh: Vitalis G. Bingkasan

KOTA KINABALU : Sabah FC jalin kerjasama sebagai sokongan terhadap usaha Persatuan Sokongan Penjagaan Sabah (PSPS) terutamanya dalam melahirkan penjaga muda kepada warga emas. 

Sabah FC mulakan sokongan itu dengan menyumbangkan jersi bertanda tangan yang dibingkaikan serta sebiji bola permainan kepada PSPS. 

Satu majlis penyerahan ringkas telah diadakan di pejabat Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) di Likas pada Isnin, yang disempurnakan oleh Presiden SAFA, Datuk Awang Kadin Tang.

Turut hadir  ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Mohd Syazwan Imran; Ketua Jurulatih, Juan Torres Garrido; Pengurus Pasukan, Muhd Arziz Afizy Rumsani; serta pemain Sabah FC termasuk ketua pasukan, Dominic Tan dan Darren Lok.

Delegasi PSPS pula diwakili oleh Presidennya, Maria Kinson; Timbalan Pengerusi merangkap Penganjur Makan Malam Gala, Dr. Julia Ongkili; ahli jawatankuasa persatuan; penjaga berdedikasi; serta Pengarah Strategi dan Pembangunan Korporat CarersPlus Asia Sdn Bhd, Gregory King.

Dikatakan bahawa barangan eksklusif itu bakal dilelong pada Majlis Makan Malam Gala VIVA! Carefest yang dijadualkan berlangsung di Pusat Teknologi dan Perdagangan Antarabangsa (ITCC) Penampang pada 6 November depan.

Ia adalah acara awam pertama PSPS di mana hasil lelongan berkenaan akan dimanfaatkan untuk  meningkatkan kesejahteraan penjaga dan warga emas di Sabah menerusi latihan diiktiraf, pembangunan kerjaya, serta pengiktirafan yang lebih luas terhadap profesion penjagaan. 

Presiden PSPS, Maria Kinson berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen bersama kedua-dua organisasi dalam memupuk potensi golongan muda di samping menyokong populasi warga emas di Sabah.

“Sabah FC membangunkan pemain muda, manakala kami melahirkan penjaga muda. Kedua-dua kami berkhidmat untuk golongan yang sama iaitu warga emas Sabah yang telah bersorak menyokong pasukan di stadium berdekatan berdekad lamanya dan kini memerlukan individu berkemahiran di sisi mereka.

“Inilah sebabnya rakan kerjasama ini sangat bermakna. Gabungan belia dan warga emas adalah teras kepada kisah ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Maria berkata, Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang tahun 2030, sekali gus menekankan keperluan mewujudkan laluan kerjaya yang jelas bagi profesion penjaga. 

Sebab itu, beliau yang menerima sumbangan berkenaan daripada Awang Kadin menzahirkan penghargaan atas sokongan nyata Sabah FC terhadap usaha persatuan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Mohd Syazwan Imran menyatakan bahawa sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial kelab untuk berbakti semula kepada masyarakat.

“Penyokong telah berdiri di belakang kami berdekad-dekad lamanya. Menyokong PSPS adalah cara kami berdiri di samping mereka, dari golongan muda hingga tua.

“Kami membina pemain muda untuk masa depan Sabah, manakala PSPS membina penjaga muda untuk masa depan negeri ini,” jelas Syazwan.

Dalam kenyataan yang sama, Dr. Julia Ongkili memberitahu bahawa jersi dan bola perlawanan berkenaan merupakan barangan eksklusif yang mampu menarik sokongan dan dana untuk persatuan. 

Katanya, sumbangan itu juga membuktikan bagaimana organisasi daripada sektor berbeza boleh bekerjasama demi kesejahteraan komuniti.

Majlis Makan Malam Gala yang bertemakan “LIVE FULLY. LOVE DEEPLY. TOGETHER.” itu bakal dihiburkan dengan persembahan daripada Evergreen Unlimited, Rayner Pailus (dikenali sebagai “Elvis Borneo”), dan Muazzam Aman.

Acara itu kemudiannya akan disusuli dengan Pameran VIVA! Carefest dan Hari Komuniti pada 7 dan 8 November di ITCC Penampang, yang dibuka secara percuma kepada orang ramai. 

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN