28 C
Kota Kinabalu
Selasa, Julai 23, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Sabah Catat Bilangan Masjid Terbanyak Di Malaysia

SIMBOLIK…Hajiji (dua kiri) menandatangani plat perasmian sebagai simbolik menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Masjid Ar-Rahman BSI.

TAWAU : Sabah mencatatkan jumlah tertinggi masjid di Malaysia iaitu sebanyak 1,127 buah selain memiliki 1,221 buah surau.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, berdasarkan rekod, terdapat 133 buah masjid dengan 103 buah surau di Tawau meletakkan daerah itu di kedudukan kedua selepas Semporna yang mempunyai sebanyak 246 buah masjid dan surau. 


“Islam merupakan agama rasmi negara ini namun rakyat yang bukan beragama lslam bebas mengamalkan kepercayaan agama masing-masing.


“Bukan bererti kalau kita mempunyai bilangan masjid yang banyak untuk beribadah, ia sesuatu yang boleh merenggangkan keharmonian dan perpaduan di antara kaum dan juga kepercayaan di negeri Sabah amnya dan negara kita khasnya.


“Kita mesti menerapkan dan menjadi umat Islam yang berdisiplin, mempunyai moral yang cintakan keadilan, perpaduan dan kemajuan supaya imej agama Islam berada di tempat yang sewajarnya dan jangan kita jadikan agama ini sebagai sesuatu yang boleh merosakkan hubungan ataupun tanggapan yang negatif daripada kaum-kaum lain yang bukan beragama Islam,” katanya ketika berucap sempena penyempurnaan Majlis Pecah Tanah Masjid Ar-Rahman Bandar Sri Indah (BSI) di sini, pada Ahad. 


Hajiji turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta sebagai permulaan untuk pembinaan masjid berkenaan bagi menampung kemudahan yang tidak mencukupi di kawasan yang mempunyai kira-kira 10 ribu penduduk itu. 


“Semoga Masjid Ar-Rahman, BSI yang bakal dibina nanti akan menjadi masjid paling aktif dan berdaya saing sejajar dengan masjid-masjid sedia ada di daerah Tawau, khususnya dari segi aktiviti keagamaan, kemasyarakatan dan juga perekonomian. 


“Oleh itu, saya berharap kerja-kerja pembinaan dapat segera dimulakan bagi memastikan masjid baru ini siap dibina sebagaimana yang dirancang dalam waktu yang telah ditetapkan.


“Masjid merupakan rumah ibadat umat Islam yang mulia, fungsi dan peranannya dalam kehidupan umat Islam sangatlah penting dan berkait rapat dengan perihal keimanan dan ketakwaan terhadap Allah SWT, pencipta seluruh alam,” ujarnya.


Menurut beliau, pembinaan sesebuah masjid atau surau dalam agama adalah sangat dituntut, lebih-lebih lagi di kawasan yang mempunyai penduduk yang beragama Islam.


“Masjid adalah sebuah institusi yang menjadi nadi kepada aktiviti masyarakat Islam, sama ada di dalam sesebuah kampung ataupun pekan dan juga bandar, ia tidak lagi dilihat sebagai rumah ibadat semata-mata, tetapi juga sebagai pusat kemasyarakatan, keilmuan, termasuk pelbagai aktiviti sosial yang berkaitan dengan kemajuan dan pembangunan ummah.


“Misalnya, penyediaan ruang untuk program-program kelas mengaji Al-Quran, kelas-kelas Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah, malah ada juga yang menyediakan ruang untuk majlis-majlis kenduri kendara dan sebagainya, justeru masjid kini menjadi pusat serbaguna ke arah kemajuan dan pembangunan ummah, sesuai dengan keperluan dan perkembangan semasa,” tambahnya lagi.


Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui dan keluarganya kerana bermurah hati mewakafkan tanah seluas lima ekar untuk tapak Masjid Ar-Rahman BSI, Tawau. 


Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamild @ Hamid Awang dan ADUN Kukusan, Rina Jainal. – PENERANGAN

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN