Rusdin menyampaikan hadiah kemenangan kepada salah seorang wakil kumpulan yang mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang diadakan sempena program itu
RANAU: Lebih banyak program kerajaan dan kemasyarakatan wajar dibawa terus ke kampung-kampung, khususnya kawasan luar bandar yang jauh dari pusat daerah, bagi memberi lebih banyak peluang kepada penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan merangkap Pengerusi Sabah Credit Corporation, Datuk Rusdin Riman berkata, penganjuran program di kawasan kampung seperti Kampung Lohan dapat menghidupkan suasana setempat selain memberi peluang kepada penduduk dan peniaga tempatan mendapat manfaat daripada kehadiran orang ramai.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Program Jiwa Komuniti MADANI 2026 di Mini Dewan Kampung Lohan, di sini, Sabtu.
Menurutnya, pemilihan Kampung Lohan sebagai lokasi program merupakan satu langkah yang baik kerana kebanyakan program sebelum ini lebih kerap dianjurkan di kawasan yang menjadi tumpuan atau pusat daerah.
Katanya, penganjuran program secara bergilir-gilir di kampung yang berbeza bukan sahaja dapat mendekatkan aktiviti kepada masyarakat luar bandar, malah berpotensi membawa lebih ramai pengunjung dan menggalakkan kegiatan ekonomi kecil di kawasan berkenaan.
Beliau turut berharap pendekatan itu dapat menjadi contoh kepada persatuan, pertubuhan dan organisasi lain untuk turut menganjurkan aktiviti di kawasan kampung.
Dalam ucapannya sempena sambutan Hari Malaysia 2026, Rusdin berkata Hari Malaysia bukan sekadar memperingati pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, tetapi juga mengingatkan masyarakat terhadap sumbangan generasi terdahulu dalam membina negara.
Katanya, generasi hari ini mewarisi hasil usaha dan pengorbanan generasi sebelumnya, justeru tanggungjawab untuk memelihara keamanan, keharmonian dan perpaduan perlu diteruskan.
Beliau berkata Malaysia terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya, namun semuanya berkongsi satu identiti sebagai rakyat Malaysia.
Menurutnya, kepelbagaian itu perlu dilihat sebagai kekuatan yang harus dipelihara melalui sikap saling menghormati, bekerjasama dan hidup secara harmoni.
“Perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi perlu diterjemahkan melalui tindakan dan hubungan baik dalam kehidupan seharian,” katanya.
Rusdin turut menggesa generasi muda supaya memahami sejarah pembentukan Malaysia serta nilai dan prinsip yang menjadi asas kekuatan negara.
Beliau berkata sambutan Hari Malaysia juga wajar dijadikan ruang untuk meningkatkan semangat patriotisme, menghargai keamanan dan kestabilan serta menyumbang kepada pembangunan negara.
Program Jiwa Komuniti MADANI 2026 itu turut mendapat sambutan masyarakat setempat.
Pada malam sebelumnya, Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, hadir dan merasmikan pembukaan program berkenaan, yang turut diserikan dengan tayangan Wayang Pacak secara terbuka untuk penduduk kampung.
Rusdin turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak, termasuk keluarga, penganjur dan penduduk Kampung Lohan yang memberikan sokongan terhadap pelaksanaan program tersebut.



