Jeffrey (tiga dari kanan) bersama Robert (dua dari kanan) merakamkan gambar kenangan dengan beberapa tetamu yang hadir.
KENINGAU: Rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disertai masyarakat berbilang bangsa merupakan titik pertemuan bagi masyarakat majmuk di Malaysia untuk mencapai erti perpaduan sebenar.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan berkata, konsep rumah terbuka dalam apa jua perayaan boleh merapatkan hubungan pemimpin dengan rakyat, selain memantapkan perpaduan dan muhibah di kalangan penduduk berbilang kaum dan agama.
Katanya, perayaan hari raya, seperti juga perayaan-perayaan yang lain adalah saluran untuk perpaduan di mana sesebuah lapisan masyarakat meraikannya dan inilah keunikan di Sabah.
Jeffrey yang juga Ahli Parlimen berkata, Sabah memang sudah dikenali dengan keharmonian masyarakatnya walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, kepercayaan dan latar belakang.
“Kita di sini boleh duduk semeja serta perbezaan kaum dan kepercayaan tidak menjadi penghalang kita untuk bersatu padu” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka
ADUN Bingkor dan Keluarga Tawik di Taman Bandukan Riverside Resort dekat sini pada Rabu.
Sementara itu, ADUN Bingkor Datuk Robert Tawik @ Nordin yang juga Pembantu Menteri Kerja berkata, kehadiran masyarakat pelbagai kaum, kepercayaan dan latar belakang pada majlis rumah terbuka mencerminkan betapa suburnya kemakmuran dan keharmonian hidup masyarakat khususnya di Sabah.
Pada masa sama beliau mengucapkan terima kasih atas kehadiran semua masyarakat pelbagai kaum dan kepercayaan yang berkunjung pada rumah terbuka beliau dan keluarganya.
“Walaupun kita terdiri daripada berbagai anutan agama dan suku bangsa, kehadiran yang begitu ramai mengeratkan lagi tali persaudaran kita tidak mengira apa fahaman politik” katanya.
Majlis rumah terbuka itu dihadiri oleh lebih kurang 15,000 orang yang terdiri daripada pelbagai kaum, kepercayaan dan latar belakang turut dihadiri oleh Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Flovia Ng, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat Sabah Datuk Dr Sangkar Rasam,
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Liawan Datuk Azman Haji Ruslan, Ketua jurulatih Bola Sepak Sabah Datuk Ong Kim Swee, Setiausaha Agung StarSabah Merangkap Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah Datuk Edward Linggu, pemimpin setempat, pemimpin-pemimpin masyarakat Cina dan ketua-ketua jabatan.
Dalam pada itu Pegawai Daerah Keningau Peter Jonu Moinjil menyifatkan, kehadiran masyarakat berbilang suku kaum adalah satu petanda yang sangat baik.
“Saya melihat ini menunjukkan bahawa rakyat di kawasan ini sentiasa bersatu padu, hormat menghormati dan sentiasa menghargai undangan rumah terbuka” katanya.
Para pengunjung yang ditemui pula memberikan reaksi positif bahawa berkunjung di rumah terbuka dapat memperkukuh dan meningkatkan silaturahim rakyat.
Seorang pengunjung Naimah Dennisin berkata, berkunjung ke rumah terbuka memang meriah dan seronok kerana dapat jumpa kawan lama selain menikmati pelbagai juadah.
Seorang lagi pengunjung Justin Yonsoding berkata, beliau dapati berbagai-bagai latar belakang yang datang.
“Jadi seolah-olah saya tengok macam bukan hari raya sebab ini semua bangsa, semua suku pun ada, jadi ini adalah satu budaya yang perlu kita pelihara dan pertahankan sebab ini akan memberi impak dan positif kepada masyarakat yang lain” katanya.