KENANGAN….. Rusdin (dua kanan), Tinus (dua kiri) bersama sebahagian tetamu merakam gambar kenangan bersama Jonathan (tengah) dalam suasana penuh ceria.
Oleh: Salwah Aramat
RANAU: Majlis Rumah Terbuka Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026M/1447H anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P.179 Ranau berlangsung meriah dengan kehadiran ratusan pengunjung di Mini Dewan Kampung Randagong Lama, di sini, pada Sabtu.
Program yang dianjurkan bersama Kelab Prihatin Ranau, Biro Hal Ehwal Islam Parlimen Ranau serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) melibatkan 10 buah kampung dalam Mukim Randagong itu menjadi platform penting dalam mengukuhkan hubungan silaturahim serta menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
Majlis bermula seawal jam 10.00 pagi dengan ketibaan Ahli Jawatankuasa (AJK) pelaksana, diikuti orang ramai yang hadir tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Aidilfitri dalam suasana penuh muhibah dan kekeluargaan.

TERIMA KASIH…..Satimin menerima sumbangan bagi Masjid At-Takwa Kampung Lagkau, Ranau yang disampaikan oleh Jonathan sambil diiringi staf Pejabat Parlimen Ranau
Kemuncak acara menyaksikan ketibaan tetamu kehormat sekitar jam 11.00 pagi, antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.38 Paginatan, Datuk Rusdin Riman bersama rombongan serta Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam.
Pengerusi penganjur, Ajamain Dani dalam ucapan alu-aluannya berkata, penganjuran majlis seumpama itu bukan sahaja menjadi wadah mengeratkan hubungan sesama penduduk, malah turut memperkukuh keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang latar belakang.
“Program seperti ini amat signifikan dalam menyatukan komuniti, selain memberi ruang kepada penduduk untuk berinteraksi secara lebih dekat dalam suasana santai dan harmoni,” katanya.
Majlis tersebut seterusnya dirasmikan oleh Ahli Parlimen P.179 Ranau, Datuk Jonathan Yasin yang menegaskan kepentingan penganjuran program kemasyarakatan sebagai medium memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat.
Beliau turut menyatakan komitmen berterusan untuk menyokong inisiatif kebajikan serta pembangunan komuniti demi kesejahteraan penduduk di kawasan Ranau.

GEMBIRA…. Kanak-kanak tidak menyembunyikan kegembiraan apabila menerima duit raya yang disampaikan oleh Datin Helena Masry.
Dalam majlis sama, Jonathan turut menyampaikan sumbangan kepada beberapa institusi termasuk masjid dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), selain bantuan kepada golongan memerlukan seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan asnaf sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat.
Turut mencuri tumpuan ialah isteri beliau, Datin Helena Masry yang menyampaikan ‘duit raya’ kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, sekali gus menambah keceriaan sambutan.
Pelbagai pengisian menarik disusun sepanjang program, antaranya persembahan artis jemputan, persembahan pelajar sekolah sekitar Ranau, cabutan bertuah serta sesi karaoke santai.
Majlis yang berakhir sekitar jam 2.00 petang itu meninggalkan kenangan manis kepada para pengunjung, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian yang terus subur dalam komuniti setempat.



