Aksyah
KOTA KINABALU: Isu siasatan berhubung projek Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) tidak seharusnya disalah tafsir sebagai kegagalan dasar kerajaan negeri, kata aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah.
Beliau menegaskan, penahanan seorang penjawat awam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini memang menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat, namun orang ramai diminta tidak membuat kesimpulan awal.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana didakwa menyalahgunakan jawatan atau kedudukan. Namun kita tidak boleh bersikap serkap jarang terhadap individu yang terlibat,” katanya dalam tulisan di akaun Facebook, hari ini.
Menurutnya, reaksi kurang senang dalam kalangan netizen adalah sesuatu yang boleh difahami, malah beliau mengakui suara protes itu turut mewakili kebimbangan rakyat Sabah.
Bagaimanapun, Aksyah menegaskan proses siasatan perlu diberi ruang sepenuhnya supaya berjalan secara telus dan adil tanpa sebarang prejudis.
Beliau berkata, inisiatif Rumah Mesra SMJ yang diilhamkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, merupakan usaha murni bagi meningkatkan taraf kehidupan golongan kurang berkemampuan.
Katanya, projek itu menyediakan rumah percuma kepada rakyat yang memerlukan dan menjadi antara produk kebajikan utama dalam pelaksanaan wawasan Sabah Maju Jaya yang kini memasuki Fasa Kedua.
“Sesungguhnya amat baik ilham, niat dan hasrat Ketua Menteri. Pelaksanaan projek Rumah Mesra SMJ adalah yang pertama seumpamanya sejak Sabah merdeka,” katanya.
Aksyah bagaimanapun mengingatkan bahawa insiden siasatan berkenaan tidak seharusnya mencemarkan matlamat asal dasar yang baik.
Sehubungan itu, beliau berpandangan tatakelola projek Rumah Mesra SMJ perlu terus diperkemas supaya pelaksanaannya lebih teratur dan benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran.
Beliau turut merujuk manifesto Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah lalu yang menyasarkan penambahan 10 unit rumah bagi setiap kawasan sekiranya GRS terus diberi mandat, susulan sambutan menggalakkan rakyat terhadap program itu.
Pada masa sama, Aksyah mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan isu berkenaan sebagai bahan politik yang boleh menimbulkan persepsi tidak adil terhadap kerajaan negeri di bawah pentadbiran GRS Plus.
“Kita tidak mahu dasar baik kerajaan ini dipolitikkan dengan naratif yang tidak adil. Ini bukan salah dasar,” tegasnya.
Beliau berharap insiden berkenaan menjadi pengajaran kepada semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek supaya integriti sentiasa dipelihara.
“Semoga projek ini terus mencapai objektifnya demi memastikan rakyat Sabah yang memerlukan dapat menikmati tempat tinggal yang lebih selesa dan kondusif,” katanya.



