24 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Januari 9, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Rubin Hargai Tindakan Isytihar Bencana Banjir dan Tanah Runtuh di Tenom

Rubin Balang

TENOM: Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Rubin Balang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tenom atas tindakan mengisytiharkan bencana banjir dan tanah runtuh di Daerah Tenom.

Rubin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong berkata, beliau juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak berkuasa, pasukan keselamatan serta sukarelawan yang telah bertindak pantas dalam menghadapi bencana banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda kawasan pedalaman khususnya di Kemabong dan Tenom.

“Kita amat mengambil perhatian dengan bencana yang sedang berlaku, tindakan pantas ini amat penting bagi membolehkan pengurusan bantuan, operasi menyelamat serta penyelarasan antara agensi kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan khususnya di kawasan-kawasan yang terjejas teruk” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada masa sama beliau meminta kepada semua penduduk yang terjejas dengan bencana banjir dan tanah runtuh supaya mengutamakan keselamatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Jangan mengambil sebarang risiko terutama di kawasan tanah runtuh dan sungai yang
masih mempunyai arus deras serta jalan yang terputus hubungan” tegasnya.

Beliau berkata, sekiranya ada arahan berpindah, mohon beri kerjasama demi keselamatan keluarga masing-masing.

Dalam pada itu Rubin juga minta pihak berkuasa dan agensi berkaitan supaya teruskan operasi pemantauan, pastikan segala aset dalam keadaan bersiap sedia serta keperluan asas penduduk mencukupi khususnya untuk kanak-kanak, warga emas dan orang sakit.

“Pihak kerajaan dan pejabat saya akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan memastikan bantuan segera disalurkan kepada semua yang terjejas” jelasnya.

Beliau turut mendoakan, semoga segala usaha dan pengorbanan semua pihak dipermudahkan selain berterima kasih atas kerjasama dan keperihatinan mereka demi kesejahteraan rakyat Daerah Tenom dan Kemabong.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN