Rozman (tiga dari kanan) bersama Bashir (empat dari kanan) ketika menyaksikan aktiviti pemindahan minyak mentah yang dilaksanakan secara kapal ke kapal di Hab Pelabuhan Teluk Victoria, pada Selasa.
LABUAN: Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli dan Ahli Dewan Negara, Datuk Bashir Alias yakin perkhidmatan pemindahan kargo dari kapal ke kapal (STS) yang dikendalikan oleh syarikat Victoria STS Sdn. Bhd., di hab pelabuhan Teluk Victoria, di sini mampu melonjakkan ekonomi Labuan.
Rozman berkata kejayaan Syarikat Victoria STS yang diberi lesen untuk mengendalikan perkhidmatan itu sebenarnya bukan sahaja dapat melonjakkan ekonomi Labuan tetapi juga telah memperluaskan lagi aktiviti perkapalan yang berdaya saing.
“Tahniah atas kejayaan Victoria STS dan Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) yang telah berusaha untuk memperluaskan lagi industri perkapalan dengan mewujudkan perkhidmatan pemindahan kargo dari kapal ke kapal (STS) di pulau ini, ” katanya ketika ditemui media selepas menyaksikan pengendalian operasi perkhidmatan pemindahan kargo dari kapal ke kapal di hab pelabuhan Teluk Victoria kira-kira 10 batu nautika dari Labuan, pada Selasa.
Menurut Rozman, beliau juga telah difahamkan kos perkhidmatan yang dikendalikan Victoria STS lebih rendah jika dibandingkan dengan pesaing-pesaingnya di rantau ini dan ini sekaligus memberi kelebihan kepada syarikat perkapalan lain mengunakan perkhidmatan yang disediakan oleh Victoria STS.
Dalam waktu yang sama Rozman berharap kerajaan Persekutuan akan terus memberikan perhatian yang serius bagi menjamin sosio ekonomi Labuan terus berkembang memandangkan Labuan telah menjadi pusat STS yang berdaya saing.
“Memandangkan Labuan sudah menjadi pusat pemindahan kargo dari kapal ke kapal yang berdaya saing serta kos yang lebih murah, kita berharap lebih banyak lagi sumber ekonomi akan dirancakkan di Labuan oleh kerajaan pusat”katanya.
Sementara itu, Datuk Bashir yang juga hadir pada majlis itu turut mengucapkan tahniah kepada syarikat berkenaan yang telah mencatatkan sejarah baharu khususnya yang melibatkan perkhidmatan pemindahan kargo dari kapal ke kapal di perairan Labuan.
“Kejayaan ini juga secara langsung dapat meningkatkan sumber ekonomi Labuan dan juga negara disamping dapat memberi peluang dalam sektor yang lain seperti pekerjaan dan sebagainya” katanya.
Pada Selasa Syarikat Victoria STS telah mencatat sejarah dalam aktiviti perkapalan apabila berjaya mengendalikan perkhidmatan pemindahan kargo dari kapal ke kapal (STS) yang pertama melibatkan minyak mentah di hab pelabuhan Teluk Victoria perairan Labuan.
Selain dari pemindahan minyak mentah, syarikat tersebut juga mampu mengendalikan pemindahan kargo diesel, gas asli cecair (LNG), petroleum dan sisa bahan api.