29 C
Kota Kinabalu
Khamis, Januari 22, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Rombakan pentadbiran kampung disaran demi tingkat kecekapan tadbir urus

Josie

KOTA KINABALU: Pentadbiran kampung yang melibatkan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Ketua Kampung disaran melalui proses reformasi menyeluruh bagi meningkatkan kecekapan tadbir urus dan keberkesanan penyampaian dasar kerajaan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Cadangan tersebut disuarakan Presiden Persatuan Wanita Dinamik Tamparuli, Josie Aloysius, menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Menurutnya, rombakan itu perlu dipertimbangkan secara serius bagi menangani kelemahan pengurusan yang sering berlaku di peringkat kampung, sekali gus memberi kesan langsung terhadap kejayaan program pembangunan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Beliau menegaskan institusi kepimpinan kampung merupakan barisan hadapan yang menjadi tempat masyarakat mendapatkan maklumat, mengemukakan aduan, memohon bantuan serta menyelesaikan isu setempat.

Justeru, keupayaan mereka melaksanakan tanggungjawab dengan cekap amat penting untuk memastikan dasar kerajaan memberi manfaat kepada rakyat.

Namun katanya, terdapat laporan mengenai sebahagian lantikan yang tidak memahami peranan, kurang cekap mengurus, tidak mampu menilai keperluan masyarakat, selain hanya kelihatan aktif apabila melibatkan elaun atau acara rasmi.

“Jika pentadbiran kampung tidak efisien, dasar kerajaan yang dirangka dengan baik juga boleh gagal dilaksanakan, menyebabkan keberkesanan penyampaian di peringkat lebih tinggi menurun,” katanya dalam hantaran tersebut.

Sehubungan itu, Josie mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan, antaranya pelantikan berdasarkan merit dan kemampuan, penilaian prestasi setiap enam bulan, serta penggantian jawatan bagi individu yang gagal memenuhi standard tugasan.

Beliau turut mencadangkan latihan wajib dalam bidang pengurusan rekod, komunikasi, penyelesaian masalah serta pembangunan komuniti bagi meningkatkan kompetensi kepimpinan kampung.

Langkah lain termasuk pelaksanaan audit kerja seperti yang diamalkan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan penyediaan laporan pembangunan kampung yang telus serta boleh diakses masyarakat bagi memastikan akauntabiliti.

Menurutnya, jawatan Ketua Kampung, JPKK dan UPPM bukan sekadar simbol atau ganjaran politik, sebaliknya memikul amanah penting dalam menentukan keberhasilan tadbir urus di lapangan.

“Rombakan ini bukan bertujuan menghukum, tetapi bagi memastikan pemimpin kampung dipilih berdasarkan kemampuan bekerja, membuat keputusan dan mengurus masyarakat dengan lebih efektif,” katanya.

Beliau menambah, pentadbiran kampung yang cekap merupakan asas kepada keberkesanan sistem kerajaan serta masa depan pembangunan masyarakat luar bandar.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN