Antara pegawai dan kakitangan jabatan yang hadir pada majlis itu mengabadikan gambar dengan Robert (tengah).
KENINGAU:Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik @ Nordin menzahirkan penghargaan kepada pegawai dan kakitangan semua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan di daerah ini.
Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bingkor berkata, kesemua jabatan negeri dan persekutuan di daerah ini memainkan peranan penting dan menjadi tulang belakang kepada pentadbiran di daerah Keningau.
“Saya juga akui tanpa kerjasama daripada pegawai dan kakitangan kredibiliti saya sebagai pemimpin turut terjejas. Saya juga berharap agar kerjasama ini sentiasa berterusan dan tidak pernah akan pudar” katanya semasa berucap pada Majlis Malam Mesra Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik @ Nordin Bersama Ketua-Ketua Jabatan Negeri, Persekutuan dan Badan Berkanun Daerah Keningau di Taman Bandukan Riverside semalam.
Robert dalam ucapannya juga memohon seribu kemaafan jika ada kekhilafan sepanjang beliau berkhidmat sebagai Pembantu Menteri dan wakil rakyat kawasan Bingkor.
“Adakalanya saya agak tegas dalam menjalankan tugas kerana tanggungjawab dan beban yang digalas demi kesejahteraan rakyat dan penduduk di daerah ini dan Bingkor khususnya” jelasnya.

Sebahagian daripada pegawai dan kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan yang hadir pada majlis itu.
Pada masa masa beliau berbesar hati untuk menerima kunjungan daripada mana-mana jabatan di daerah ini untuk membincangkan hal-hal berkaitan pembangunan,penganjuran program dan kerjasama jabatan.
“Besar tapak tangan, nyiur saya tadahkan demi rakyat dan juga tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat” ujarnya.
Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada pegawai dan kakitangan atas kerjasama dan persahabatan yang terjalin selama ini
Beliau berharap, semoga kerjasama dan persahabatan ini kekal utuh dan semakin kukuh.
Mengenai program pada malam ini Robert berkata, beliau dedikasikan khas untuk semua ketua jabatan negeri dan persekutuan atas kerjasama dan jasa mereka sepanjang saya menjawat jawatan Pembantu Menteri Kerja Raya dan juga ADUN kawasan N.40 Bingkor.
Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Keningau Edward Bungsu, Pengerusi Penganjur Rafie Robert, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.