26 C
Kota Kinabalu
Isnin, Februari 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

RM3.01 juta diperuntukan kepada Labuan di bawah Cakna Wilayah Prihatin 4.0

MENTERI WILAYAH….. Tan Sri Annuar Musa.


LABUAN: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah memperuntukan sebanyak RM3.01 juta di bawah Program Inisiatif Wilayah Cakna 4.0 (IWC 4.0) khusus untuk warga Labuan membabitkan golongan B40, atlet dan jurulatih serta gelandangan.


Peruntukan menerusi Inisiatif Wilayah Cakna 4.0 yang bermula Oktober hingga 31 Disember ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap golongan terjejas dengan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).


Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan hari ini berkata daripada jumlah itu, 772 penjaja dan peniaga kecil berlesen di Labuan dikecualikan bayaran sewa premis niaga milik Perbadanan Labuan.


“Manakala 468 orang peniaga kecil dan peniaga pasar awam milik agensi berkenaan turut dikecualikan bayaran pembaharuan lesen perniagaan bagi tempoh tiga bulan bermula Oktober” katanya.


Menurut Annuar lagi, penyewa perumahan awam milik Perbadanan Labuan juga dikecualikan bayaran sewa perumahan bagi tempoh tiga bulan bermula Oktober ini sekali gus memberi manfaat kepada 617 penyewa melibatkan pengecualian kepada PL berjumlah RM519,045.00.


Manakala 108 pemilik tanah milik PL diberi diskaun sebanyak 30 peratus untuk kadar bulanan pajakan tanah. Ia melibatkan 85 syarikat.


Sementara itu katanya, seramai 2,000 pelajar sekolah daripada keluarga miskin akan menerim ‘Baucar Bantuan’ (one-off) buku latihan sekolah bernilai RM100.00 sumbangan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).


“Bayaran diskaun kompaun juga akan diberikan pada kadar tetap RM 15 sahaja sepanjang tempoh PKPB sehingga 31 Disember khusus kepada warga Labuan” katanya.


Selain itu, sumbangan (one-off) sebanyak RM3,000 diberikan kepada enam Zon dan Sub Zon Majlis Perwakilan Penduduk Labuan bagi membolehkan program pencegahan COVID-19 dalam kalangan komuniti dilaksanakan termasuklah program nyah kuman, aktiviti disinfeksi di semua kawasan kemudahan awam bagi membendung penularan wabak COIVID 19.


Annuar juga berkata, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) akan meneruskan pemberian elaun latihan kepada 700 atlet dan 103 jurulatih SUKMA Wilayah Persekutuan membabitkan peruntukan lebih RM937,000.
TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN