Zaliha ketika meninjau Projek Cendawan di Kampung Kilan.
LABUAN: Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah memperuntukan RM 1juta untuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana Taman Burung Labuan termasuk produk pelancongan yang sedia ada.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata peruntukan itu bagi memperkasakan industri pelancongan Labuan termasuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana Taman Burung Labuan.
“Ini adalah salah satu usaha kerajaan dalam mempastikan industri pelancongan diberi perhatian yang sewajarnya”, katanya ketika ditemui media selepas menyantuni Kampung Kilan yang menjuarai Anugerah Aspirasi Desa Madani 2024 kategori Kampung Tradisional peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, pada Sabtu.
Selain itu katanya, JWP akan menganjurkan Program Khas ‘Borneo Flora Festival’ yang akan diadakan pada Julai tahun depan.
“Program ini akan kita adakan pada Julai tahun depan yang kita jangkakan mampu menarik 50,000 pengunjung luar ke Labuan”, katanya.
Pada majlis itu Zaliha turut meninjau Projek Tanaman KRT Progresif Kilan Pulau Akar yang bernilai RM 50,000.00 meliputi tiga projek Tanaman Limau Kasturi, Cendawan dan Kebun Komuniti.
Selain itu beliau juga turut memberikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada tiga buah kampung yang memenangi Anugerah Aspirasi Desa Madani kategori Kampung Tradisional masing masing RM5,000 kepada kampung Kilan selaku johan, RM3,000 kepada kampung Patau Patau 1 (naib johan) dan RM2,000 kepada Kampung Belukut (tempat ketiga).
Katanya sumbangan itu sebagai galakan untuk meningkatkan aktiviti dan pendapatan komuniti.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Sukuran Taib dan Ketua Kampung Kilan, Haji Hassan Haji Kapal.