26 C
Kota Kinabalu
Jumaat, November 7, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Revolusi Pendidikan Sabah Mula Menggegarkan Landasan Ekonomi Negeri: Dr Awang Faisal

Dr. Awang Faisal Assyiffa

KOTA KINABALU: Sabah kini berada pada landasan transformasi besar apabila kerajaan negeri memperkukuh sektor pendidikan sebagai asas utama pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Cyberjaya College Kota Kinabalu, Dr. Awang Faisal Assyiffa, menyifatkan dasar pendidikan Sabah sejak 2021 sebagai antara pelaburan paling signifikan dalam sejarah negeri, dengan peruntukan melebihi RM1.3 bilion disalurkan bagi membangunkan modal insan secara menyeluruh.

Menurut beliau, peningkatan peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) kepada RM136 juta pada 2025 merupakan bukti kesungguhan kerajaan memberi peluang pendidikan tinggi yang lebih luas kepada anak Sabah.

“Inisiatif seperti BUDI, BAIK, BISTARI, BAGUS dan SUBFLY pula jelas meringankan beban keluarga terutama di luar bandar dan golongan B40 agar tiada pelajar tercicir hanya kerana kekangan kewangan,” katanya kepada media, hari ini.

Beliau turut memuji langkah kerajaan menubuhkan Sabah Technical and Vocational Education and Training Council, yang dianggap sebagai pendekatan strategik untuk menyelaras ekosistem TVET secara lebih tersusun dan berorientasikan industri.

Katanya, usaha sebegitu akan memastikan Sabah melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi selari dengan keperluan pasaran kerja.

“Pendidikan tidak boleh dilihat semata-mata dari sudut akademik, sebaliknya sebagai pemacu ekonomi jangka panjang

“Apabila rakyat diberi akses kepada pendidikan berkualiti, negeri sebenarnya sedang melahirkan generasi pemimpin, usahawan dan profesional yang bakal menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” jelas Dr.Awang Faisal

Beliau turut menarik perhatian terhadap impak dasar seperti subsidi penerbangan GRS-SUBFLY yang bukan sahaja membantu pelajar pulang ke kampung halaman tetapi turut merangsang sektor pengangkutan dan perkhidmatan domestik.

Jelasnya, ini membuktikan dasar pendidikan Sabah dirangka dengan pendekatan ekonomi yang inklusif dan mampan.

Sebagai peneraju institusi pengajian tinggi, beliau menegaskan bahawa peranan kolej dan universiti bukan hanya mendidik pelajar tetapi turut menyumbang kepada agenda pembangunan negeri melalui penyelidikan, inovasi, program akademik berteraskan industri serta pendidikan komuniti.

“Saya yakin bahawa kejayaan Sabah bergantung kepada sinergi berterusan antara kerajaan, institusi pendidikan, sektor industri dan masyarakat

“Hanya melalui pendidikan menyeluruh dan ekonomi inklusif, Sabah mampu mencapai status negeri maju dan berdaya saing pada masa hadapan,” tambahnya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN