Noridah bersama Fadlun Dan Sukuran ketika melancarkan Ruruai Promosi BFF@Labuan 2025 di Terminal Lapangan Terbang Labuan, pada Sabtu.
LABUAN: Suasana Terminal Lapangan Terbang Labuan mula menyerlah apabila Perbadanan Labuan melancarkan Ruruai Promosi sempena Borneo Flora Festival 2025 (BFF@Labuan2025) yang akan diadakan di Kompleks Sukan Laut Labuan pada 26 hingga 30 Julai 2025.
Majlis pelancaran Reruai Promosi BFF@Labuan 2025 di sempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Seri Noridah Abdul Rahim di aras satu Terminal Lapangan Terbang Labuan, pada Sabtu.
Sementara itu, Perbadanan Labuan dalam satu kenyataan berkata pembukaan Reruai Promosi di Lapangan Terbang bertujuan memperkenalkan BFF lebih awal kepada pelancong dan pengunjung yang tiba di Labuan.
Menurut kenyataan itu lagi, ruruai berkenaan juga memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai sendiri keindahan dan keunikan landskap bunga-bungaan dan taman yang bakal dipamerkan sepanjang festival berlangsung.
“Pembukaan Reruai di lokasi strategik seperti di Lapangan Terbang membolehkan capaian terus kepada pelawat domestik dan antarabangsa, sekali gus memperkukuh imej Labuan sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan khazanah alam dan budaya” tambah kenyataan itu.
Selain mempromosi festival, reruai tersebut turut mempamerkan produk kraf tempatan di bawah jenama LAWA, yang mengetengahkan hasil seni kraf berasaskan sumber hutan dan laut seperti batik, anyaman tradisional, jahitan kreatif dan sulaman manik serta penjualan cenderamata berasaskan seni kraftangan, warisan dan budaya.
Festival BFF@Labuan 2025 yang pertama kali dianjurkan itu bakal menampilkan 20 taman bertema unik seperti Laman Magika dan Under Water World Garden yang dijangka mampu menarik 50,000 pengunjung. Sekaligus memberi impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi Labuan.
Hadir sama pada majlis pelancaran itu, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib.



